KUALA LUMPUR – 136 unit kediaman Elmina Green Five (EG5) dan 46 unit rumah Trilia di Bukit Jelutong yang dibangunkan oleh Sime Darby Property Berhad telah habis dijual pada akhir bulan lalu.
Nilai pembangunan kasar kedua-dua projek ini sebanyak RM239 juta.
Pengarah Urusannya, Datuk Azmir Merican berkata, kadar belian positif bagi kedua-dua projek ini mencerminkan kepercayaan pengguna terhadap keupayaan syarikat untuk menyediakan produk berkualiti yang memenuhi keperluan mereka.
Ditawarkan dari harga RM911,888 dengan 22×75 kaki, unit EG5 ini mempunyai bukaan keluasan 2,478 hingga 2,841 kaki persegi.
Dengan keluasan yang ditawarkan ia memberi fleksibiliti dan lebih banyak ruang bekerja dan belajar dari rumah.
EG5 ini mempunyai empat bilik tidur dan empat bilik mandi serta ruang dapur yang luas.
Trilia pula adalah salah satu fasa terakhir vila taman berkembar di Bukit Jelutong.
Bagi pembeli rumah yang mencari kehidupan mewah dalam suasana yang tenang, Trilia merupakan pembelian terbaik bagi vila taman berkembar di perbandaran pegangan bebas Bukit Jelutong.
Ia terletak bersebelahan dengan Hutan Simpan Bukit Cherakah dan Taman Komuniti Eko Bukit Jelutong.
Vila taman berkembar ini bersaiz lot 40 kaki dengan 80 kaki dan 40 kaki dengan 85 kaki ditawarkan masing-masing dari harga RM2.67 juta dan RM2.79 juta.
Dengan binaan antara 4,158 hingga 4,320 kaki persegi, mempunyai 5+1 unit bilik tidur dan enam bilik mandi memberikan keselesaan dan privasi maksimum serta menawarkan sehingga tiga ruang tamu dan ruang keluarga serta empat taman peribadi di setiap rumah. – MalaysiaGazette