MELAKA – Pakatan Harapan (PH) mencadangkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membenarkan konsep kempen pandu lalu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, konsep itu nyata tidak melanggar mana-mana Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah digariskan Kementerian Kesihatan (KKM).
“SPR harus melihat pelaksaan kaedah terbaik ketika PRN di waktu pandemik sebagaimana yang pernah dilakukan di beberapa buah negara.
“Kempen juga boleh dilaksanakan secara pandu lalu di mana pengunjung datang dengan kereta dan boleh duduk di satu tempat dan mendengar penjelasan daripada pihak yang bertanding.
“Ini boleh diaturkan secara baik dengan penyusunan yang baik. Ini akan meningkatkan penyertaan rakyat dalam proses demokrasi,” katanya sidang media secara maya, hari ini.
Hadir sama adalah Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Melaka, Datuk Halim Bachik.
Jelas Amirudin, SOP ketat yang diumumkan SPR semalam adalah total blackout kepada semua calon dan parti politik yang bertanding di PRN Melaka.
“Ini adalah satu langkah yang menjejaskan dan merugikan dalam rakyat untuk berpartisipasi di dalam PRN kali ini.
“Pemerintah mempunyai akses yang sangat besar di dalam media, memang semua boleh masuk media, tak semua yang nak terima selain parti-parti pemerintah. Ini sedikit sebanyak akan beri impak dan kesan yang tidak baik kepada kami,” katanya.
Semalam, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh mengumumkan sebarang penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh PRN Melaka.
Malah suruhanjaya itu turut meminta semua pihak yang terlibat dengan PRN Melaka mematuhi segala SOP pencegahan Covid-19 bagi PRN Melaka yang telah diluluskan Kementerian Kesihatan (KKM) semalam.
Turut dilarang semasa PRN Melaka adalah kempen ziarah rumah ke rumah, aktiviti tinjauan mesra (walkabout) dan pengedaran risalah kepada orang awam secara bersemuka. – MalaysiaGazette