MELAKA – Selain dilanda ‘demam’ Pilihan Raya Negeri (PRN)’, rakyat turut Melaka berpeluang mendapat pengurangan bayaran saman sehingga 60 peratus bagi kesalahan yang dikeluarkan di negeri ini.
Bagi kesalahan yang dikenakan di luar Melaka, diskaun 50 peratus turut diberikan bermula hari ini bagi kedua-dua tawaran berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, pengurangan saman itu ditawarkan sehingga 15 November depan.
“Bayaran saman boleh dibuat bermula jam 8 pagi hingga 5 petang di semua kaunter semakan saman trafik kontinjen Melaka kecuali saman dikeluarkan pada 2021 melibatkan kesalahan tidak patuh lampu isyarat, lorong kecemasan dan potong secara berbahaya.
“Bagi diskaun 60 peratus, ianya tertakluk kepada saman di Melaka sahaja, manakala bagi kesalahan di luar Melaka, kita beri tawaran pengurangan 50 peratus.
“Pengurangan saman ini bersempena Deepavali, selain sebagai satu kaedah Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengurangkan beban rakyat dan sekaligus mengelakkan mereka dikenakan undang-undang,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Jelasnya, saman lain yang tidak layak menerima pengurangan adalah saman potong di garisan berkembar, dalam pembicaraan, tidak boleh dikompaun, kesalahan berkaitan lori dan pengubahsuaian ekzos.
Mengulas lanjut, Hasan berkata, semakan saman juga boleh dilakukan secara dalam talian sebelum pesalah hadir ke kaunter trafik.
“Bagaimanapun, untuk mendapatkan pengurangan ini, pesalah perlu membuat bayaran di kaunter bayaran saman trafik,” katanya. – MalaysiaGazette