Home Nasional 3,811 pesawah nikmati manfaat Smart SBB – Ronald Kiandee

3,811 pesawah nikmati manfaat Smart SBB – Ronald Kiandee

Ronald Kiandee (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen memorandum antara Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid (hadapan) dengan Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Datuk Zamri Yaakob (dua dari kanan) pada Majlis Menandatangani MOU Program Smart Sbb Antara Kerajaan dan 7 Syarikat Peneraju Sesi 2/2021 di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 09 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Seramai 3,811  pesawah telah menikmati manfaat menerusi Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) sehingga 28 Oktober lalu.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ini melibatkan kawasan penanaman padi seluas 9,777.7 hektar di beberapa tempat iaitu Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor dan Seberang Perak.

Dalam masa yang sama tambah beliau, syarikat peneraju yang bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi program ini juga semakin bertambah.

Jelasnya, ia membuktikan program yang digerakkan oleh MAFI menunjukkan perkembangan positif sekaligus membuahkan hasil.

“Ini pendekatan yang ditambah baik oleh MAFI dan kita harapkan agar lebih ramai pesawah akan turut serta dalam program ini.

“Kita tahu di luar sana ramai yang cuba menggagalkan, berbagai tomahan dilemparkan kepada program Smart SBB tetapi hari ini jelas lebih banyak syarikat peneraju tampil ke hadapan dan turut serta dalam program ini,” katanya ketika sidang media.

Beliau berkata demikian ketika hadir pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU), Program Smart SBB antara Kerajaan Malaysia yang diwakili oleh MAFI dengan tujuh syarikat peneraju yang berlangsung di Menara Pertubuhan Peladang.

Tujuh syarikat peneraju berkenaan adalah, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS); Satu Cita Sdn. Bhd.; PTG Builder Services Sdn. Bhd.; Sermaju Agro Sdn. Bhd.; Panji Tulin Enterprise; Advansia (Sarawak) Sdn. Bhd dan Unggul Venture Sdn. Bhd.

Sebanyak 11 syarikat peneraju telah menandatangani MoU untuk turut serta dalam program itu pada 23 Febuari lalu.

Mengulas lanjut Ronald berkata, melalui program ini MAFI dan semua syarikat peneraju bersetuju untuk menampung kos sebanyak RM3,200 bagi mengusahakan satu hektar sawah.

Untuk rekod, Smart SBB adalah inisiatif kerajaan bagi menangani isu sekuriti makanan negara dan kadar tahap sara diri beras negara yang ketika ini berada paras sekitar 70 peratus, menyebabkan negara masih bergantung kepada bekalan beras import dari Vietnam, Thailand, Kemboja, India dan Pakistan.

Program tersebut dijangka meningkatkan purata pendapatan pesawah daripada RM5,000 kepada sehingga RM7,900 setahun.

Justeru, Ronald berharap lebih banyak syarikat peneraju akan bersama-sama dengan MAFI untuk melaksanakan program ini.-MalaysiaGazette