SELESAI sudah penamaan calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka semalam,
sebagaimana dilaporkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani
Salleh dalam sidang medianya. Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini menyaksikan 112 calon layak bertanding, dengan pertandingan enam penjuru di tiga kawasan membabitkan kerusi DUN Asahan, Duyong dan Gadek.
“Sebanyak lima kerusi iaitu DUN Rembia, Machap Jaya, Paya Rumput, Pengkalan Batu dan
Bemban pula menyaksikan pertembungan lima penjuru.” Manakala, sembilan DUN menyaksikan pertandingan empat penjuru manakala 11 lagi DUN melibatkan tiga penjuru.
“DUN yang menyaksikan pertandingan empat penjuru ialah Kuala Linggi, Durian Tunggal,
Sungai Udang, Bukit Katil, Ayer Molek, Bandar Hilir, Telok Mas, Serkam dan Sungai
Rambai.
Selain itu, pertandingan tiga penjuru pula di DUN di Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu,
Taboh Naning, Pantai Kundor, Kelebang, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana, Rim dan
Merlimau.
“Peratusan calon mengikut jantina pula, sebanyak 96 orang calon lelaki manakala baki 16
wanita bertanding kali ini.
Beliau berkata, bagi pecahan mengikut umur, sembilan calon muda berusia 21 hingga 29
tahun bertanding pada PRN kali ini.
”21 calon berusia 30 hingga 39 tahun, 35 calon berusia 40 hingga 49 tahun, 36 calon
berusia antara 50 hingga 59 tahun, manakala 11 calon berusia 60 tahun ke atas dengan
calon tertua berusia 68 tahun dan calon termuda pula berusia 21 tahun," jelasnya.
Maka bermulalah tempoh rasmi berkempen yang akan berakhir pada 11.59 malam, 19
November akan datang.
Sangat rapuh?
Menerusi penamaan calon tersebut, mengikut sifirnya kita dapat lihat betapa rapuhnya
kerajaan persekutuan yang ada sekarang. Sedarkah kita? Parti-parti yang bersama dalam kerajaan persekutuan, namun di peringkat negeri, mereka tidak sehaluan, dengan kata mudahnya, ‘kerajaan lawan kerajaan’.
Begitulah, berpenjuru-penjuru pertandingannya. Di mana muafakat dan perikatannya?
Sangat pelik dan tidak masuk akal, tetapi begitulah yang berlaku. Boleh jadi inilah ‘balasan’ berikutan daripada ‘rampasan kuasa’ yang dilakukan daripada kerajaan yang dipilih rakyat pada 2018 yang dijatuhkan pada awal tahun 2020 lalu.
Rakyat terus memerhati kepincangan yang terjadi. ‘Gula-gula’ yang dipersembahkan
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2022 yang terbesar dalam sejarah Malaysia pada 29 Oktober 2021 lalu, belum tentu mampu menjadi umpan yang ampuh.
Mungkin kesempatan dan ruang yang ada ini adalah saat terbaik Pakatan Harapan
mempamerkan sesuatu yang dekat dengan jiwa rakyat, apatah lagi negara Malaysia yang
tercinta ini masih dalam fasa rawatan dan pembaikan Covid-19.
Peluang terbaik!
Kepada rakyat Melaka, inilah masanya yang tepat mengembalikan semula kemenangan
yang pernah dirangkul. Mandat rakyat wajar dikembalikan sebagaimana Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 yang lalu.
Usah terpedaya lagi dengan tawaran manis yang dihamparkan oleh mereka yang hanya
inginkan jawatan semata-mata tanpa mempedulikan tanggungjawab dan amanah serta tidak bersungguh-sungguh membela serta memperjuangkan nasib rakyat.
Boleh jadi melalui PRN ini juga, ia menjadi satu momentum besar kepada perubahan politik tanah air buat kedua kalinya selepas parti yang pernah memerintah selama lebih 60 tahun berjaya dijatuhkan.
Kita yang tidak mengundi untuk PRN Melaka, teruslah memberikan sumbangan dan
mendoakan yang baik-baik agar negeri itu dipimpin oleh mereka yang benar-benar ikhlas
memimpin serta membela rakyat.
Teruskan perjuangan!
Atriza Umar
Pegawai Penyiaran dan Komunikasi
Pertubuhan IKRAM Malaysia