KUALA LUMPUR – Pertembungan Pas dengan Barisan Nasional (BN) di Melaka tidak akan menjejaskan Muafakat Nasional (MN), kata Tan Sri Annuar Musa.
Malah dalam masa yang sama Ahli Parlimen Ketereh itu juga yakin bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka tidak akan menggoyahkan hubungan bersama Perikatan Nasional (PN).
Sebaliknya, Annuar menganggap PRN Melaka kali ini sebagai pra musim untuk kesemua parti sebelum menghadapi pilihan raya umum akan datang.
“Anggaplah persaingan di Melaka itu satu perlawanan pre season dalam perlawanan bola sepak ada pra musim. Jadi oleh kerana masing-masing parti sudah hbuat pendirian masing-masing jadi teruskanlah.
“Macam saya, saya kita kena ikut apa yang parti putuskan, mereka mencuba pergi secara berasingan di antara PN dan MN.
“Bukan sahaja UMNO dan Pas dalam MN pada saya MN, PN dan BN adalah entiti politik yang satu proses mencapai persefahaman dalam pasca PRU 2014.
“Maka tidak salah konfigurasi baharu tetapi saya percaya ia tidak akan menjejaskan solidariti MN di antara UMNO dan Pas,” katanya ketika sidang media selepas menyampaikan Bantuan Deepavali Rumah Prihatin di sini hari ini.
Annuar yang merupakan antara pemimpin yang mengasaskan MN menambah, apa yang penting adalah semua parti perlu berpolitik secara matang dan bersolidariti pada peringkat nasional terutama memastikan PN sebagai kerajaan yang mentadbir kekal.
“Asas terus berusaha untuk mewujudkan solidariti nasional dan mengurangkan konflik pertelingkahan. Masa akan datang tidak bermakna kekal seperti itu, Kita perlu berusaha, agar PN yang sedang mentadbir kekal sebagai satu gabungan kerjasama,” ujarnya.
Annuar yakin pertembungan bersama Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Melaka juga tidak akan mewujudkan persepsi negatif kerana persaingan sebegini turut berlaku di negara-negara luar.
“Ini berlaku di seluruh dunia, bergabung di peringkat nasional kadang kala bertarung di peringkat negeri bukan satu perkara luar biasa berlaku di banyak negara luar dalam banyak situasi.
“Kekalkan semangat hormat menghormati antara satu sama lain, air dicincang tidak akan putus,” katanya lagi.
Ditanya tentang sejauh mana UMNO akan mencapai kemenangan di Melaka, Annuar berkata, ia bergantung dengan keputusan rakyat yang akan memberi mandat.
Namun ujar beliau, kempen perlu dijalankan secara matang dan bersih tanpa memburukkan mana-mana pihak.
“Kita mesti menerima keputusan rakyat UMNO dan yang lain perlu menyerahkan mandat lkepada rakyat sebagai ahli UMNO saya doakan UMNO menang di tempat-tempat UMNO tawarkan untuk bertanding tapi pendirian itu dalam keadaan suasana politik yang matang tanpa memburukkan orang lain,” tambahnya.
BN bertanding di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan UMNO 20 kerusi, MCA (tujuh) dan MIC (satu).
PN turut mengumumkan bertanding di 28 kerusi dengan Bersatu bertanding di 15 kerusi, Pas (lapan) dan Gerakan (lima).-MalaysiaGazette