Home Politik DAP halang pembangkang demo bantah pembunuhan Rohingya – Jamal

DAP halang pembangkang demo bantah pembunuhan Rohingya – Jamal

Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Jamal Md Yunos bercakap pada sidang media tergempar mengenai isu pembunuhan etnik Rohingya di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 07 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Pemimpin Pertubuhan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md. Yunos mendakwa DAP menghalang hasrat ahli-ahli pembangkang untuk menyertai himpunan aman di Kuala Lumpur esok.

Menurutnya, terdapat beberapa orang dari PKR, PPBM dan PAN yang mahu menyertai kumpulannya untuk bersama-sama berdemonstrasi di Kedutaan Myanmar dan Wisma PBB itu namun mengadu dihalang oleh pimpinan DAP.

“Saya dihubungi oleh rakan PKR, BERSATU dari sebelah sana nak besama sekali tapi dihalang oleh DAP. Saya tak tahu kenapa PH tak benarkan PKR, BERSATU, untuk bersama kami menunjukkan solidariti, tunjuk dukacita terhadap penindasan terhadap kekerasan Myanmar terhadap Rohingya.

“Hari ini kami bersama komponen yang lain dan kami alu-alukan rakan-rakan parti sebelah sana tak kiralah dari DAP, Cuma rakan-rakan sebelah sana dihubungi kata mereka nak datang sebab ini bukan isu politiik tapi mereka dilarang oleh DAP.

“Baju tak kisah warna apa. Kami harap parti sebelah snaa, DAP datang sekali. saya hairan tapi d kenapa DAP nak halang mereka berdemo dengan kami, ini bukan demo yang ganas demo tunjuk protes apa yang dilakukan oleh Myanmar,” katanya ketika ditemui petang tadi.

Ketika ditanya alasan yang diberikan oleh DAP berkenaan halangan tersebut, Jamal yang juga Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar itu membayangkan kemungkinan sentimen agama atau parti mungkin menjadi faktor kepada halangan tersebut.

Justeru, Jamal menggesa rakyat negara ini agar sama-sama menyatakan bantahan berkenaan isu kemanusiaan yang melanda teruk etnik Rohingya tanpa ada sempadan politik kepartian, bangsa atau agama.

Jamal yang mewakili gerakan Baju Merah hari ini bersama-sama pergerakan Pemuda Umno dan pelbagai pertubuhan membuat mesyuarat tergempar di PWTC hari ini berkenaan isu kemanusiaan yang melanda di Myanmar.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang ketika dihubungi Malaysia Gazette bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.

Menurutnya, beliau hanya mendengar perkara tersebut apabila ditanya ketika dihubungi oleh pemberita.

“Saya ada dengar demonstrasi yang macam tu,” katanya ringkas kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi.-MalaysiaGazette