Home Seni Hidup LZS salur sumbangan zakat RM3.7 juta kepada Tabung Kebajikan Pesakit

LZS salur sumbangan zakat RM3.7 juta kepada Tabung Kebajikan Pesakit

Simbolik penyerahan sumbangan disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dalam satu majlis yang diadakan di Shah Alam hari ini.

SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan sumbangan zakat sebanyak RM3,740,000.00 kepada Tabung Kebajikan Pesakit LZS di 18 buah hospital dan institusi perubatan sekitar Selangor serta Kuala Lumpur.

Ia melibatkan dua fasa penyaluran sumbangan sepanjang tahun ini.

Melalui tabung tersebut, setiap hospital dan institusi perubatan masing-masing menerima sumbangan zakat di antara RM40,000 hingga RM300,000.

Sumbangan fasa pertama disalurkan pada bulan Jun 2021 melibatkan peruntukan zakat sebanyak RM1,770,000 manakala sumbangan bagi fasa kedua disalurkan pada bulan November 2021 dengan peruntukan sebanyak RM1,970,000, kata LZS dalam satu kenyataan hari ini.

Sumbangan Tabung Kebajikan Pesakit LZS disalurkan dalam bentuk geran yang diperuntukkan oleh LZS sejak tahun 2008 dan ia merupakan sebahagian usaha pihaknya meringankan beban pesakit Islam yang kurang berkemampuan dan memerlukan kos pembiayaan bagi menjalani rawatan di hospital.

Lebih-lebih lagi dalam situasi krisis pandemik Covid-19, kata kenyataan yang sama.

Simbolik penyerahan sumbangan disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dalam satu majlis yang diadakan di sini hari ini.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail dan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan), Dr. Faizal Mat Ariffin.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop.

Antara hospital yang menerima sumbangan termasuklah Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Hospital Kuala Lumpur, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Sungai Buloh, Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur, Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan Institut Kanser Negara.- MalaysiaGazette