Home Nasional Perkenal program khas Catch Up untuk pelajar sekolah, IPT

Perkenal program khas Catch Up untuk pelajar sekolah, IPT

Tan Sri Muhyiddin Yassin. Foto IHSAN JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 26 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan agar satu program khas Catch Up peringkat nasional diperkenalkan khususnya bagi membantu pelajar yang tercicir di sekolah atau institut pengajian tinggi (IPT).

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, ia bagi membantu golongan itu sepanjang tempoh pandemik sama ada secara hibrid atau bersemuka mengikut kesesuaian sekolah, universiti, guru dan pelajar.

“Ya, kelas secara online atau PDPR berjalan sepanjang tempoh sekolah ditutup, namun kita tidak boleh menutup sebelah mata bahawa ada dalam kalangan pelajar yang ketinggalan dan tertinggal.

“Terutamanya mereka di pedalaman yang tiada akses kepada internet, malah golongan miskin bandar yang tiada gajet yang sesuai untuk belajar secara online.

“Justeru, kerajaan perlu meneliti dan menangani isu-isu pokok seperti ini,” katanya di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap membahaskan Belanjawan 2022.

Mengulas lanjut, Muhyiddin mengalu-alukan komitmen kerajaan untuk meneruskan inisiatif sedia ada seperti menyediakan peranti dan gajet kepada pelajar B40 di bandar dan luar bandar, pemerkasaan sekolah pendidikan khas, membaik pulih dan menaik taraf sekolah-sekolah daif di seluruh negara khususnya di wilayah Sabah dan Sarawak.

“Di sebalik pembangunan prasarana dan penyediaan peralatan untuk proses pengajaran dan pembelajaran ini, cabaran yang lebih besar ialah memastikan anak-anakĀ  dapat dibantu untuk mengejar semula pelajaran yang tertinggal dan suasana pembelajaran yang terlepas dalam tempoh pandemik,” katanya.

Muhyiddin turut menyarankan agar kerajaan menstruktur semula semua jenis bantuan yang ada di semua agensi kerajaan termasuk kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

Malah jelas beliau, kerajaan juga wajar menggalakkan pihak swasta, badan bukan kerajaan dan individu untuk turut sama berada dalam ekosistem ini bagi memastikan keselarasan penyaluran bantuan dapat dicapai.

“Kedua, manfaatkan keupayaan Artificial Intelligence (AI) dengan mewujudkan satu sistem pengurusan bantuan yang bersifat end to end dan automatik yang mana bantuan boleh terus disalurkan ke akaun penerima bantuan dalam kadar segera sekiranya berlaku bencana, musibah, kehilangan kerja atau jatuh di bawah kategori miskin atau miskin tegar.

“Pengurusan Bantuan ini hendaklah bersifat Sokongan Sementara atau Sokongan Kekal.

“Ketiga mewujudkan satu exit policy bagi setiap kategori penerima bantuan supaya mereka tidak kekal dalam status yang sama dalam jangka masa yang panjang,” katanya. – MalaysiaGazette