Home Nasional KKM sentiasa pantau penjualan ubat kuat, suntikan vitamin C tidak berdaftar di...

KKM sentiasa pantau penjualan ubat kuat, suntikan vitamin C tidak berdaftar di pasaran

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) sentiasa menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan produk kesihatan dan ubat-ubatan yang dipasarkan di negara ini berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum dijual kepada orang awam.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Norhaliza A Halim berkata, bagi mengekang penjualan produk kesihatan tidak berdaftar termasuk ubat kuat dan suntikan vitamin C, KKM giat menjalankan pemeriksaan dan operasi serbuan secara berterusan terutamanya di kawasan hot spot yang dikenalpasti di seluruh negara.

Menurutnya, sejak 2019 sehingga bulan ini, BPF KKM telah menerima 362 aduan daripada orang awam mengenai ubat kuat dan suntikan vitamin C.

“Berdasarkan pengesahan aduan, sebanyak 666 premis yang menjual ubat kuat tidak berdaftar telah diserbu dengan nilai rampasan mencecah sebanyak RM5,818,963.

“Manakala sebanyak 187 premis yang menjual suntikan vitamin C telah diserbu dengan nilai rampasan berjumlah RM278,202,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, sebuah akhbar tempatan menerbitkan beberapa artikel berkaitan ubat kuat dan suntikan vitamin C menerusi siaran 1 hingga 3 November lalu.

Bagaimanapun menurut Norhaliza, terdapat dakwaan yang tidak tepat seolah-olah KKM tidak mengawal penjualan dan pengiklanan produk kesihatan dan ubat-ubatan di pasaran.

“Artikel yang disiarkan seolah-olah menggambarkan penjualan dan pengiklanan produk kesihatan dan ubat-ubatan di pasaran dibiarkan secara berleluasa tanpa tindakan diambil,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, BPF KKM telah meningkatkan pemantauan terhadap ubat tidak berdaftar termasuk ubat kuat dan suntikan vitamin C yang dijual dalam talian.

Katanya, terdapat pengiklanan dan penjualan keluaran di platform e-dagang yang dijual telah diarahkan untuk diturunkan.

“Sejak tahun lepas, pihak syarikat pengendali platform telah diarahkan untuk menyekat sebarang produk ubat-ubatan berkaitan ubat tidak berdaftar. Sebanyak 19,862 iklan produk telah dinotifikasi untuk diturunkan sejak tahun lepas sehingga bulan ini.

“Manakala, sebanyak 1,665 bilangan pautan di media sosial dan platform e-dagang luar negara berkaitan ubat kuat dan suntikan vitamin C telah dimajukan kepada pentadbir platform bagi permohonan penurunan kandungan dan sebanyak 257 laman sesawang telah dimajukan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk tindakan sekatan,” katanya.

Dalam pada itu, Norhaliza turut mengingatkan pengguna supaya sentiasa mendapatkan khidmat nasihat doktor bagi rawatan perubatan.

Jelas beliau, pengambilan ubat kuat tanpa pengawasan doktor boleh meningkatkan tekanan darah dan denyutan jantung dan seterusnya meningkatkan risiko serangan jantung dan strok terutamanya bagi mereka yang mempunyai penyakit darah tinggi, kencing manis serta masalah buah pinggang.

Manakala penggunaan ‘tisu basah’ yang mengandungi anestetik jika digunakan dalam jangka masa panjang boleh mengundang risiko mati pucuk.

Tegasnya, di Malaysia, vitamin C tidak didaftarkan dalam bentuk suntikan oleh PBKD dan penjualan produk-produk kesihatan yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Norhaliza berkata, individu yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Manakala, bagi syarikat yang melakukan kesalahan yang sama boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

“Pengguna perlu memastikan produk yang dijual mempunyai pelekat keselamatan Hologram Farmatag dan Nombor Pendaftaran Produk (MAL) sebelum membeli produk tersebut.

“Status pendaftaran produk boleh disemak dengan melayari laman sesawang https://www.npra.gov.my di ruangan “Product Search” atau dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400 atau muat turun aplikasi NPRA Product Status secara percuma daripada Play Store, App Store atau Huawei AppGallery,” katanya.

Tambahnya, orang ramai turut digalakkan untuk mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat mengenai penjualan produk-produk farmaseutikal tidak berdaftar atau kosmetik tidak bernotifikasi melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) di alamat https://moh.spab.gov.my, mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan atau melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk berkenaan di pasaran. – MalaysiaGazette