Home Politik Calon BN, PH dan PN redah banjir

Calon BN, PH dan PN redah banjir

SHANMUGAM (kanan) mendengar penerangan oleh Mohd Ridhwan sebelum memulakan tinjauan di kawasan terjejas banjir kilat (Foto- APM AG)

ALOR GAJAH  – Meskipun berbeza ideologi politik , tiga calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek berkongsi ‘pentas’ menyantuni mangsa banjir di kawasan berkenaan hari ini.

Mereka adalah P Shanmugam mewakili Barisan Nasional (BN); Mohd Amir Fitri Muharam dari Perikatan Nasional (PN) dan penyandang kerusi berkenaan, G Saminathan dari Pakatan Harapan (PH) yang turun padang meninjau penduduk di Kampung Gadek Dalam, sekitar jam 10.30 pagi tadi.

Difahamkan ketiga-tiga mereka hadir berasingan ke lokasi sekitar jam 10 pagi dan melakukan tinjauan bersama-sama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dari Pejabat Daerah Pertahanan Awam Alor Gajah.

Dalam tinjauan itu Pegawai Pertahanan Awam Daerah Alor Gajah merangkap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Lt (PA) Mohd Ridhwan Latip turut memberikan penerangan mengenai situasi banjir kilat.

Saminathan (kiri) menyertai anggota APM AG meninjau kawasan banjir kilat. (Foto- APM AG)

Menurut beliau setakat ini sebanyak 10 rumah terjejas banjir kilat itu, namun belum ada mangsa yang dipindahkan.

“Banjir kilat yang berlaku disebabkan hujan lebat di sekitar DUN Gadek dan Machap bermula jam 7 malam hingga lewat malam semalam.

“Ia menyebabkan air sungai dan parit melimpah di kawasan yang rendah,” katanya sambil memaklum Pusat Pemindahan Sementara belum dibuka.

Mohd Amir Fitri turut turun padang menyantuni penduduk terjejas. (Foto- APM AG)

Beliau berkata, keadaan cuaca ketika ini mendung dan pihaknya terus melakukan pemantauan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Katanya, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran, Majlis Perbandaran Alor Gajah dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung turut bersama-sama melakukan pemantauan. – MalaysiaGazette