Home Politik PH umum 32 inisiatif kepada pengundi Melaka

PH umum 32 inisiatif kepada pengundi Melaka

Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (dua dari kiri) dan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu (dua dari kanan) serta Pengerusi Pakatan Harapan Melaka dan calon PH Bukit Katil, Adly Zahari (kanan) menunjukkan risalah Pelan Tindakan Maju Bersama Harapan yang dilancarkan bagi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di La Crista Hotel, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 10 NOVEMBER 2021.

MELAKA – Pengundi-pengundi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ditawarkan 32 inisiatif dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

Manifesto bertemakan Pelan Tindakan ‘Maju Bersama Harapan’ itu merangkumi aspek kesihatan, kebajikan, ekonomi penduduk, usahawan dan negeri serta reformasi pentadbiran kerajaan Melaka.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari yang mengumumkan manifesto itu berkata, isu kesihatan, ekonomi dan kestabilan politik dilihat sebagai perkara paling penting yang perlu diatasi di Melaka.

“Teras pertama Melaka Sejahtera, fokus untuk menjaga kesihatan fizikal dan mental dari ancaman Covid-19 disamping tingkatkan taraf kehidupan rakyat.

“Teras kedua meliputi Melaka Makmur wujudkan pekerjaan baru, rancakkan ekonomi dan SME. Teras ketiga Melaka Stabil bagi tujuan laksnakan reform pentadbiran untuk menjamin kerajaan yang stabil, adil telus dan intiegiri,” katanya yang juga calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil.

Majlis itu turut dihadiri Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta dua Timbalan Pengerusi PH, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu.

Dalam pada itu, pelan itu akan turut mengetengahkan beberapa inisiatif lain, antaranya menggubal enakmen antilompat parti bagi menjamin kestabilan kerajaan Melaka, selain mengiktiraf kedudukan ketua pembangkang setaraf Exco.

“PH juga akan memberikan hak peruntukan tahunan setara kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tanpa mengira parti.

“Selain itu, PH akan mewajibkan setiap ADUN membuat pengisytiharan harta, menjadikan dan amalan tender terbuka sebagai teras proses perolehan negeri.

“Pelaksanaan teras ini ditulis sebagai pelan tindakan sebab selepas mandat diperoleh, tugas utama PH Melaka adalah bertindak untuk memastikan kesejahteraan, kemakmuran dan kestabilan politik negeri dapat dijayakan,’ katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.