Home Nasional Pemuda BN serah memorandum desak PBB campur tangan

Pemuda BN serah memorandum desak PBB campur tangan

Khairul Azwan Harun

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairul Azwan Harun hari ini menyerahkan memorandum kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini bagi membantah kekejaman kerajaan Myanmar dalam pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya, di negara itu.

Dalam memorandum berkenaan, beliau mendesak badan dunia itu mengambil tindakan drastik bagi menangani penindasan golongan minoriti umat Islam di Rakhine, Myanmar itu.

“Kami bagi pihak belia Malaysia menuntut agar PBB mengambil tindakan segera berkaitan dengan krisis kemanusiaan yang semakin meningkat terhadap Rohingya di wilayah Rakhine, Myanmar.

“PBB sebagai sebuah organisasi global yang dihadapkan dengan isu-isu kemanusiaan, masalah penindasan dan kekejaman sepatutnya menjadi keutamaan mereka,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan Wisma PBB, di Bukit Damansara, di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun bergambar selepas menyerahkan memorandum bantahan atas kekejaman ke atas etnik Rohingya di hadapan Wisma PBB, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 08 SEPTEMBER 2017

Terdahulu, Khairul Azwan bersama pemimpin pemuda BN menyerahkan memorandum bantahan berkenaan kepada Penyelaras Kemanusiaan PBB, Steven Preisner di Wisma PBB, Bukit Damansara, di sini, hari ini.

Tindakan itu susulan desakan Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin Abu Bakar semalam supaya PBB mengadakan satu sidang khas tergempar bagi mencari penyelesaian muktamad berhubung krisis berdarah berkenaan.

Khairul Azwan juga berkata, antara dua tindakan drastik yang perlu diambil perhatian PBB ialah mengadakan sesi khas tergempar dalam membuat cadangan segera menangani krisis kemanusiaan dan menyelesaikannya secara dasar.

“PBB juga perlu mewujudkan operasi pengaman di wilayah Rakhine, Myanmar yang bertujuan untuk memulihkan keamanan dan memudahkan aliran bantuan segera untuk etnik Rohingya,” katanya. – MalaysiaGazette