Home Dunia Mexico usir Duta Korea Utara

Mexico usir Duta Korea Utara

Presiden Mexico, Enrique Peña Nietohari

MEXICO CITY – Mexico mengisytiharkan Duta Korea Utara, Kim Hyong Gil ‘persona non grata’ dan diarah meninggalkan negara itu dalam tempoh 72 jam.

“Persona non grata” bermaksud `orang yang tidak diingini’ dan merupakan penolakan paling serius sesebuah negara terhadap diplomat asing dan juga sebagai penyataan rasa tidak senang terhadap kelakuan atau dasar negara diplomat itu.

Pengumuman Presiden Mexico, Enrique Peña Nietohari ini membuka babak baru dalam hubungan negara itu dengan Korea Utara selepas ujian nuklear yang dilakukan Pyongyang baru-baru ini.

Kementerian Luar negara itu berkata, pengusiran itu dibuat sebagai menyatakan ‘penolakan mutlak’ terhadap ujian nuklear Korea Utara yang paling besar setakat ini, dalam masa sama turut membangunkan bom hidrogen canggih yang boleh dipasang di atas peluru berpandu balistik antara benua.

“Aktiviti nuklear Korea Utara adalah satu risiko yang serius untuk keamanan antarabangsa rantau ini, termasuk sekutu utama Mexico seperti Jepun dan Korea Selatan,” kata kementerian itu.

Sebelum ini pentadbiran di Jepun dilaporkan berkata, bom yang digunakan dalam ujian nuklear keenam Korea Utara telah menyebabkan gegaran di seluruh rantau ini dan merupakan 10 kali ganda lebih kuat berbanding ujian nuklear yang dilakukan Pyongyang pada tahun lepas. – MalaysiaGazette