Home Nasional Bukan seperti tawa dalam tangisan, memang menangis pun

Bukan seperti tawa dalam tangisan, memang menangis pun

Calon Barisan Nasional N23 Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman meronda di sekitar kampung dengan menaiki motorsikal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di jalan Padang Temu, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 11 NOVEMBER 2021.

MELAKA – Dek kerana prosedur operasi standard (SOP) kempen yang terlalu ketat, calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas menyifatkan kempennya yang memasuki hari keempat hari ini ibarat tawa dalam tangisan.

Calonnya, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, beliau sedih kerana tidak dapat menziarahi penduduk yang memerlukan sentuhan pemimpin sebagai rutin hariannya lebih-lebih lagi ketika menjelangnya hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) 20 November ini.

“Bukan lagi seperti tawa dalam tangisan, memang menangis pun. Menangis bila kenangkan bila kita nak jenguk rakyat, ia menjadi satu kesalahan sedangkan saya dah terbiasa ‘merayau’ naik motosikal walaupun bukan wakil rakyat sebelum ini.

“Ini satu SOP yang kita tak pernah terfikir di waktu pilihan raya,” katanya ketika ditemui semasa melakukan tinjauan di sekitar Padang Temu dan Jeti Nelayan Sungai Duyung di sini hari ini.

Calon Barisan Nasional N23 Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman. Foto MOHD ADZLAN, 11 NOVEMBER 2021.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, berkata, masih belum terlambat untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengkaji semula pelaksanaan SOP kempen PRN Melaka yang tidak masuk akal itu.

“Sekurang-kurangnya longgarkanlah sikit SOP, jangan sampai pemimpin tak bleh berjumpa rakyat dan kalau boleh kaji semula kekangan tidak boleh kempen dari rumah ke rumah ini.

“Masih belum terlambat lagi nak longgarkan SOP, bukan apa rakyat ini bila dah selalu jumpa kita, tiba-tiba seminggu dua hilang, takut mereka merajuk,” katanya.

DUN Telok Mas yang mempunyai 20,712 pengundi bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru termasuk Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Turut bertanding adalah Datuk Ashraf Mukhlis Minghat (PH-Amanah) dan calon bebas Muhammad Ariff Adly Mohammad. – MalaysiaGazette