Home Nasional Ucapan bahasa Melayu Tuan Ibrahim di Glasgow dapat pujian ramai

Ucapan bahasa Melayu Tuan Ibrahim di Glasgow dapat pujian ramai

Tindakan Menteri Alam Sekitar dan Air yang memartabatkan bahasa Melayu dalam ucapannya di Persidangan Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau UNFCCC di Glasgow baru-baru ini ternyata mendapat pujian ramai.

KUALA LUMPUR – Tindakan Menteri Alam Sekitar dan Air yang memartabatkan bahasa Melayu dalam ucapannya di Persidangan Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau UNFCCC di Glasgow baru-baru ini ternyata mendapat pujian ramai.

Ini kerana ucapan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada persidangan penting peringkat antarabangsa yang dihadiri oleh majoriti negara luar telah mengharumkan imej dan nama negara, kata Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nasrudin Hassan.

“Sepertimana diketahui majoriti pemimpin dunia dalam persidangan ini bertutur dalam bahasa selain bahasa Inggeris, justeru langkah yang diambil oleh Menteri KASA bukanlah sesuatu yang merendahkan taraf bahkan menonjolkan kemegahan
dan jati diri bangsa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Nasrudin, YADIM selaku agensi yang sentiasa mendokong dan menyokong sebarang usaha memartabatkan negara, bangsa dan agama sepertimana tuntutan Islam dan selaras dengan peruntukan perlembagaan menzahirkan kesyukuran kerana ada pemimpin negara Malaysia yang mampu menzahirkan rasa bangga dan cintakan bahasa ibunda serta bertutur di perhimpunan masyarakat dan pemimpin dunia.

“Semoga langkah yang dibuat oleh Tuan Ibrahim akan mencetuskan gelombang cinta dan bangga kepada bahasa kebangsaan yang akan diikuti oleh seluruh rakyat dan pemimpin negara demi negara dan bahasa yang tercinta,” katanya.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas turut mendapat pujian daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)  kerana memartabatkan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menganggap Timbalan Presiden Pas itu membuka satu lembaran baharu kepada perkembangan bahasa Melayu di persada antarabangsa.-MalaysiaGazette