MASJID TANAH – Keakraban bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dengan penduduk kampung di sini tidak dapat disangkal.
Apatah lagi beliau kerap mengunjungi rakyat di lapangan tanpa perlu menunggu ada pilihan raya.
Perkara itu diakui sendiri oleh salah seorang penduduk sekampung dengannya yang melihat sikap peramah beliau masih kekal sejak di bangku sekolah lagi.
Menurut Rosnani Osman, 56, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu kerap turun padang menyantuni meskipun sekadar duduk minum petang di warung tepi jalan.
“Mestilah calon sahabat saya, Sulaiman sebab sahabat dari sekolah sampai tua, sama-sama sekolah.
“(Keakraban) iyalah sekampung, dia pun tak kisah, datang sini pun sekali sekala santai-santai, minum petang, tak semestinya pilihan raya,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Kampung Air Budi Durian Daun semalam.
Bagi seorang anak muda, Maznorwandi Mahadi, 34, walaupun pentadbiran Barisan Nasional (BN) singkat di bawah Sulaiman namun rekod prestasi parti itu perlu diteruskan kerana terbukti mampu membawa kestabilan.
“Kita nak sesuatu yang baik untuk rakyat khususnya anak-anak muda, yang nak berniaga, sekarang pun masih musim Covid-19, jadi pendapatan itu berkurangan.
“Mungkin selepas ini kita harapkan akan datang (kerajaan) boleh lagi boleh menjamin pendapatan kita. Ekonomi pula kita nampak turun naik, macam peluang kerja ada yang tak dapat teruskan lagi,” katanya.
Maznorwandi berkata, prestasi BN ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Razak perlu dikembalikan khususnya di Melaka dengan melihat banyak pelaburan masuk ke negara ini.
“Kita tengok pelaburan dari luar macam makin jauh daripada Malaysia sedangkan zaman BN dan Datuk Seri Najib dulu pelaburan banyak masuk.
“Jika BN boleh meneruskan pentadbiran, kita harap balik ekonomi negara boleh kembali macam dulu, boleh tingkat taraf hidup rakyat, hanya BN boleh majukan negara kita,” katanya.
Bagi seorang lagi anak muda, Nabil Muzakkir Mohammad, 30, rakyat Melaka perlu membuka mata atas kesilapan mereka memilih Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan ia tidak perlu diulangi semula.
“Cukuplah kita di Melaka ini diperintah PH selama 22 bulan, macam-macam kita dengar, semuanya negatif dan kita tak mungkin akan dapat terima peristiwa itu lagi
“Saya mengharapkan (bekas) Ketua Menteri kita Sulaiman akan mentadbir semula Kerajaan Negeri Melaka,” katanya.
Sementara itu, Mohamad Ridhuan Ahmad, 45, Melaka memerlukan sebuah parti politik yang boleh mewujudkan kerajaan yang stabil dan tidak boleh diganggu-gugat mana-mana pihak.
“Bila dapat satu kerajaan yang stabil, jadi kerajaan mudah buat keputusan yang terbaik untuk rakyat. Kita harap kerajaan kukuh untuk mentadbir negeri dan membantu rakyat.
“Saya akan menyokong Sulaiman kerana beliau sentiasa membantu, mendekati masyarakat dan mudah didekati oleh rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette