PUTRAJAYA – Kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rnaught (Rt) negara semalam adalah 1.0 dan kenaikan berbanding kelmarin yang mencatatkan bacaan 0.99 Rt penularan jangkitan virus itu mendatar.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, namun ia merupakan tanda awal kes Covid-19 mungkin akan melonjak selepas ini.
“Kalau kita lihat trend kenaikan Rt ini bermaksud kes masih mendatar dan ada kemungkinan akan melonjak naik, buat masa ini tidak naik sebaliknya ini fasa mendatar.
“Senario ini berlaku kerana disebabkan masyarakat masih tidak mengambil peduli pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang disarankan kerajaan.
“Apa yang KKM seru orang ramai adalah supaya terus mematuhi SOP kerana ketika ini pergerakan merentas negeri yang dibuka kepada rakyat kita tidak ada masalah.
“Masalah sebenarnya adalah orang mengabaikan SOP dengan berhimpun di tempat sempit yang akan menambah risiko peningkatan jika tidak diambil tindakan segera,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Tambah beliau, secara umum, penularan Covid-19 di Malaysia adalah baik namun negara kini memasuki fasa berjaga-jaga bagi memastikan keadaan terus terkawal dan bertambah baik.
Mengulas lanjut mengenai kenaikan kadar atau nilai Rt mengikut jangkaan kes harian semalam untuk seluruh negara meningkat kepada 1.0, katanya, peningkatan itu berlaku lebih kurang lima minggu selepas pergerakan rentas negeri dibenarkan.
“Jika melihat situasi sebelum ini, trend peningkatan kes telah dilihat lima sehingga enam minggu selepas kebenaran rentas negeri diberikan pada 7 Disember 2020.
“Kedua-dua faktor ini menjadi peringatan awal kepada kita semua agar tindakan secara aktif perlu diambil bagi memastikan kes Covid-19 tidak meningkat semula dengan mendadak antaranya dengan mempergiatkan tindakan pemberian vaksin dos penggalak (booster dose),” ujar beliau.
Selain itu kata Noor Hisham, kes harian Covid-19 mula meningkat sejak daripada minggu epidemiologi (ME) ke-14 tahun 2021 iaitu pada awal bulan April 2021.
Ujarnya, peningkatan kes secara mendadak juga bermula pada ME ke-25 tahun ini sehingga mencapai puncak pada ME ke-33 berikutan penyebaran varian Delta secara meluas di Malaysia.
Menurut beliau, varian Delta buat pertama kalinya telah dikesan pada April lalu dan bilangan kes terus meningkat.
“Alhamdulillah, kes harian Covid-19, kes sembuh Covid-19 dan juga kes kematian Covid-19 mulai menurun sekitar ME ke-36 dan ini satu pencapaian yang baik buat negara selain penurunan kes ini adalah selaras dengan peningkatan kadar vaksinasi di dalam negara di mana Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah dimulakan pada bulan 24 Februari yang lalu.
“Pelancaran vaksinasi Covid-19 secara besar-besaran telah berjaya menurunkan jumlah kes, kadar kemasukkan ke hospital, ICU dan juga kadar kematian (rujuk Rajah 2),” jelasnya.
Sementara itu, Noor Hisham berkata, terdapat bukti pengurangan imuniti terhadap SARS-CoV-2 selepas beberapa bulan menerima vaksin lengkap daripada kajian yang dilakukan Real World Data.
Katanya, berikutan ituĀ berlaku peningkatan kes jangkitan semula dalam kalangan penerima vaksin.
“Selain daripada itu kemunculan variant of concern (VOC) juga memberi kesan di mana ianya lebih mudah merebak dan mampu merebak di dalam komuniti dalam tempoh yang singkat,” tambah beliau. – MalaysiaGazette