BARBUDA – Kereta terbang di atas kepala, kontena sepanjang 40 kaki terbang kiri dan kanan dan orang ramai terpaksa mengikat badan mereka dengan tali di atas bumbung bagi mengelakkan diri daripada diterbangkan Taufan Irma.
Demikian dahsyatnya ribut yang melanda kepulauan Caribbean itu seperti yang diceritakan oleh Pengerusi Majlis Barbuda, Knacyntar Nedd.
Taufan selaju 300km/jam yang mengorbankan sekurang-kurangnya 10 mangsa itu hampir memusnahkan seluruh pulau tersebut.
Hampir tiada satu pun bangunan di Barbuda yang tidak rosak manakala hampir separuh populasi kehilangan tempat tinggal masing-masing.
Imej-imej helikopter menunjukkan jalan-jalan ditenggelami banjir manakala rumah-rumah pula hancur atau sudah tidak berbumbung.
“Apa yang kami alami ini adalah sama seperti yang anda tonton di dalam filem seram, bukan sesuatu yang anda jangkakan boleh berlaku dalam dunia realiti,” kata Nedd kepada stesen televisyen tempatan, ABS.
Antara mangsa terselamat, Jacqueline Bisa ketika menceritakan detik cemas itu berkata, rumah mereka seperti mahu roboh apabila taufan mula melanda.
Dia yang bersama tujuh lagi ahli keluarga terpaksa berlindung di dalam almari dan bilik air tetapi angin terlalu kuat sehingga memaksa mereka berpaut pada pintu untuk memastikannya sentiasa tertutup sebelum diselamatkan.
“Kami rasa seperti angin tersebut boleh menelan kami,” katanya.
Menurut beberapa penduduk yang mempunyai pengalaman dengan angin kencang semasa musim ribut Atlantik berkata, Taufan Irma adalah sesuatu yang tidak pernah dijangkakan.
“Pengalaman malam tadi adalah sangat menakutkan yang pernah saya alami sepanjang hidup selama 60 tahun.
“Sesiapa yang tidak kehilangan bumbung, rumah mereka pula hancur lebur seperti saya. Saya kini gelandangan,” kata seorang lelaki yang mahu dipanggil King Goldilocks. – MalaysiaGazette