KUALA LUMPUR – Seorang murid tahun satu sekolah agama parah di kepala dan maut selepas dilanggar van semasa melintas di hadapan kenderaan itu di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor.
Insiden menyayat hati itu berlaku semasa van itu berhenti untuk menurunkan sekumpulan pelajar dari sekolah kebangsaan dan ke sebuah tadika di kawasan perumahan itu sebagai transit.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, semasa kejadian sebuah van persendirian jenis Toyota Hiace dipandu oleh seorang wanita berada di hadapan sekolah tersebut.
“Hasil siasatan mendapati dalam kejadian sekitar jam 12.10 tengahari tadi, pemandu van berkenaan berusia 31 tahun itu sedang menghantar sekumpulan pelajar dari sekolah kebangsaan dan ke sebuah tadika di kawasan perumahan itu sebagai transit.
“Selepas itu, wanita itu membawa van menuju ke sebuah sekolah KAFA sebelum berhenti dan menurunkan kesemua murid dan mangsa adalah penumpang terakhir yang turun dari van tersebut.
“Setelah selesai menurunkan kesemua pelajar di tadika tersebut, pemandu van itu telah bergerak maju ke hadapan tanpa menyedari kehadiran mangsa yang mana pada masa yang sama kanak-kanak (mangsa) itu sedang melintas di hadapan sebelum telah melanggar murid itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Akibat perlanggaran itu, tambah beliau, kanak-kanak itu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan mangsa dibawa segera ke unit kecemasan Pusat Perubatan Nilai untuk rawatan lanjut.
“Malangnya, pada jam lebih kurang 2.30 petang tadi pegawai perubatan Nilai Medical Centre telah mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia semasa menerima rawatan.
“Polis telah merujuk mayat kanak-kanak sekolah itu ke Hospital Putrajaya untuk urusan proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya, ujarnya sambil menambah pemandu wanita itu telah dipanggil ke balai dan dirakam keterangan untuk membantu siasatan polis.
Menurut Wan Kamarul Azran, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu rakaman kamera litar tertutup milik sebuah rumah di hadapan sekolah tersebut berdurasi 52 saat tular dalam media sosial memaparkan insiden berkenaan.
Pemandu wanita itu yang menyedari terlanggar sesuatu, lantas memberhentikan van dan lari ke arah mangsa lalu mengangkat kanak-kanak itu sebelum beberapa orang beserta kanak-kanak lain muncul dari sekolah itu setelah mendengar jeritan orang.-MalaysiaGazette