Home Nasional Bahan kempen dirosakkan, PN lapor polis jika ada unsur samseng

Bahan kempen dirosakkan, PN lapor polis jika ada unsur samseng

Seorang petugas menunjukkan poster calon PN, Fong Khai Ling yang dicabut dan dikoyakkan sebelum dibuang ke atas jalan raya.

AYER KEROH – Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang memasuki hari keenam dicemari  apabila bahan kempen Perikatan Nasional (PN) didakwa dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, perbuatan merosakkan poster, kain rentang dan tiang bendera PN berlaku dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana.

“Hari ini, saya menerima aduan daripada petugas kami mengenai kerosakan bahan kempen PN di DUN Kota Laksamana. Kejadian ini mengecewakan dan tidak sepatutnya berlaku.

“Saya telah mengarahkan jentera pilihan raya PN menyiasat jika ada kerosakan di DUN-DUN lain.

“Jentera PN sedang memeriksa jika kerosakan ini dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya menerusi akaun Facebooknya hari ini.

Seorang petugas menunjukkan poster calon PN-Gerakan, Fong Khai Ling yang dicabut dan dikoyakkan sebelum dibuang ke atas jalan raya.

Berdasarkan beberapa keping gambar yang dimuatnaik Wan Saiful, kejadian itu berlaku di jalan utama berdekatan tapak parkir kereta di DUN Kota Laksamana.

Gambar itu juga menunjukkan seorang petugas jentera menunjukkan poster calon PN dari Gerakan, Fong Khai Ling telah dicabut dan dikoyakkan sebelum dibuang ke atas jalan raya.

Dalam pada itu, Wan Saiful juga tidak menolak kemungkinan pihaknya akan membuat laporan polis sekiranya perbuatan didapati mempunyai unsur samseng dalam kempen ini PRN Melaka.

“Saya menyeru supaya kita berkempen dengan cara yang baik. Janganlah sehingga merosakkan bahan kempen parti lain.

“Budaya samseng dan budaya ekstrem mesti dihentikan serta merta dan dipadam daripada landskap politik negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette