Home Politik Chin Han benci kempen guna isu perkauman

Chin Han benci kempen guna isu perkauman

Calon Barisan Nasional DUN N.24 Bemban Datuk Koh Chin Han bercakap pada sidang media berkenaan lompat parti politik di Bilik Gerakan Utama MCA, World Youth Hotel Ayer Keroh, Melaka. Foto AMIRUL SHAUFIQ 09 NOVEMBER 2021.

AYER KEROH – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Datuk Koh Chin Han melahirkan rasa kebenciannya terhadap kempen menggunakan isu perkauman.

Menerusi Facebook, beliau berkata, kempen seperti itu tidak wajar berlaku dalam masyarakat majmuk di negara ini.

Katanya, perpaduan harus dibentuk oleh kerajaan kerana ia mewujudkan suasana harmoni dalam negara.

“Saya nak nasihatkan kepada rakan-rakan seperjuangan tak kira siapalah, jangan kita sekali-kali mainkan sentimen perkauman…tak baik.

“Dulu selalu orang sebut di zaman 60-an atau 70-an semua dapat bergaul dengan baik, memang tiada masalah tapi sekarang ini banyak sangat isu perkauman. Ini kita tak mahu,” katanya dalam program bual bicara Istimewa Apa Hari ini? anjuran BN Comms malam ini.

Tanpa merujuk kepada calon atau parti tertentu, Chin Han berkata, apabila rakyat dapat hidup dalam keadaan sejahtera dan bersatu, ia boleh menjadi contoh kepada orang luar.

Ia juga dapat menarik minat pelabur untuk melabur ekoran tidak ada perbalahan yang berlaku dengan melihat kestabilan yang ada.

“Jadi, janganlah kita mainkan sentimen perkauman. Itu sebab BN ini satu keluarga yang besar yang manejoriti Melayu, Cina, India dan bangsa-bangsa lain.

“Jadi BN ini untuk rakyat Malaysia…maka pemimpin-pemimpin BN juga saya harap tidak akan mainkan sentimen petkauman ini, kita buangkanlah…ingat dalam otak kita,” ujarnya. – MalaysiaGazette