PADA 14 Jun 2017, enam orang penuntut di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh serta bersubahat di atas kematian Zulfarhan Osman Zulkarnain.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tanggal 2 November 2021, telah menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap mereka selepas disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan meskipun pada awalnya mereka didakwa di bawah Seksyen 302.
Semua tertuduh terlepas dari hukuman gantung mandatori di bawah Seksyen 302, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan niat tertuduh untuk membunuh mangsa melampaui keraguan yang munasabah.
Durkheim dalam teorinya mengenai jenayah berkata, sesuatu yang bertentangan
dengan lumrah kepercayaan baik buruk sesuatu perkara dalam masyarakat adalah dianggap jenayah.
Dalam suatu kes jenayah, elemen niat (mens rea) dan juga perbuatan (actus reus)
perlu dibuktikan oleh pihak pendakwaan melampaui suatu keraguan yang munasabah.
Seksyen 302 Kanun Keseksaan menetapkan hukuman mati jika didapati bersalah di atas
dakwaan membunuh di bawah Seksyen 300.
Manakala, Seksyen 304 Kanun Keseksaan pula memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun serta boleh juga didenda sekiranya seseorang disabitkan dengan kesalahan mematikan orang dengan salah, yang tidak terjumlah kepada membunuh di bawah Seksyen 299.
Menurut teori yang dikemukakan oleh John Austin, undang-undang adalah suatu
perintah yang mengarahkan atau melarang seseorang daripada melakukan suatu tindakan, dan disertakan dengan hukuman.
Teori yang dikemukakan oleh John Austin ini sedikit sebanyak telah diterapkan di dalam Kanun Keseksaan di Malaysia.
Ini kerana kesalahan di bawah Seksyen 299 dan 300 Kanun Keseksaan ini dilengkapi dengan hukuman masing-masing di bawah Seksyen 302 dan 304 Kanun Keseksaan.
Walaupun hukuman yang dikenakan sudah cukup berat, namun tidak dinafikan,
jenayah masih berleluasa setiap hari di Malaysia.
Hal ini berkemungkinan disebabkan, tahap kefahaman dan pematuhan undang-undang yang berbeza-beza setiap orang dalam kalangan masyarakat.
Ini bertepatan dengan teori perundangan Lon L. Fuller yang mempercayai bahawa nilai moral dalaman seseorang akan mempengaruhi tahap kekuasaan sesebuah undang-undang itu terhadap diri mereka sendiri.
Berkemungkinan ada pihak yang merasakan hukuman yang dijatuhkan dalam kes ini
tidak setimpal dan tidak adil untuk mangsa.
Namun begitu, mahkamah sebagai tonggak keadilan tidak boleh sesekali bertindak sembrono dalam membuat sesuatu keputusan.
Memandangkan kes pendakwaan gagal dibuktikan, adalah tepat mahkamah tidak
menjatuhkan hukuman mati di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap tertuduh.
Sekiranya berlaku, ini akan melanggar hak kebebasan diri yang dijamin dibawah Perkara
Perlembagaan Persekutuan di Malaysia.
John Locke juga dalam Teori Naturalismenya, menyokong konsep kesamarataan
antara semua manusia dan tidak membenarkan mana-mana orang mempunyai hak untuk
meragut nyawa, kesihatan, kebebasan dan hak pemilikan seseorang.
Tindakan tertuduh menggunakan kekerasan terhadap mangsa sehingga maut, hanya kerana sebuah komputer riba, bukanlah suatu jalan penyelesaian yang baik dan sama sekali bertentangan dengan teori ini.
Konklusinya, kefahaman yang menyeluruh terhadap perundangan di Malaysia adalah
sangat signifikan dalam memahami asas keputusan sesuatu mahkamah itu sebelum
mengutarakan sesuatu pandangan.
Selagi mana, elemen-elemen dalam sebuah dakwaan itu tidak berjaya dibuktikan, selagi itulah seseorang tidak boleh didakwa bersalah walaupun kadangkala kita merasakan tidak adil.
Walaupun misi dalam setiap kes yang dibawa ke mahkamah adalah untuk menuntut keadilan, namun prinsip kedaulatan undang-undang itu sendiri masih perlu dilindungi.
Oleh: Nur Amira Batrisyia Mohamad Rafi & Prof. Madya Dr. Shahrul Mizan Ismail
Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia