JASIN – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menyantuni pengundi-pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan di sini, hari ini.
Beliau menghabiskan masa lebih kurang 45 minit dengan makan tengahari bersama orang ramai dan dua calon BN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka iaitu calon Machap Jaya, Ngwe Hee Sem dan calon Asahan, Fairul Nizam Roslan.
Turut menemani beliau bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Fairul ketika ditemui media berkata, perjalanan kempennya bertambah baik dan penerimaan pengundi-pengundi di kawasannya juga semakin meningkat.
Katanya, kesemua pengundi-pengundi yang ditemui menilai prestasi BN ketika mentadbir negeri sebelum ini dan akan membuat keputusan bijak pada hari pengundian 20 November ini.
“Alhamdulillah, perjalanan kempen bertambah baik penerimaan pengundi nampaknya semakin meningkat dan mereka menilai prestasi BN,” katanya ringkas ketika ditemui selepas program lawatan Perdana Menteri sebentar tadi.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November, berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu, susulan empat Ahli DUN menarik sokongan terhadap kepemimpinan ketua menteri.
Melaka yang mempunyai 28 kawasan DUN, memiliki seramai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus, wanita. – MalaysiaGazette