Home Sukan Jangan ragui saya melawan kanser – Brendan Gan

Jangan ragui saya melawan kanser – Brendan Gan

Brendan Gan (botak). Foto Facebook Brendan Gan.

KUALA LUMPUR – Ketua pasukan Selangor FC, Brendan Gan mendedahkan pengalaman berjuang menentang kanser yang dihadapi untuk kembali semula di atas padang.

Brendan, 33, berkata, dia semakin bersemangat kuat dan meminta peminat bola sepak tidak meragui dirinya untuk melawan virus yang ditakuti ramai.

Kata pemain tengah Harimau Malaya, dalam penyakit kanser ada perkataan ‘boleh’ iaitu boleh menang dan pulih sepenuhnya seperti sedia kala.

Dia juga menasihati orang mementingkan kesedaran dengan membuat pemeriksaan awal tentang penyakit itu.

“Dalam perjalanan untuk menjadi lebih kuat dari sebelumnya! Jangan pernah meragui saya, kerana saya tidak pernah meragui diri sendiri.

“Kanser adalah perkataan yang hodoh, tetapi hanya sejelek yang anda buat, terdapat begitu banyak cara untuk menunjukkan ia boleh menjadi satu perjalanan yang indah.. keluarga, rakan, komuniti kanser dan keupayaan untuk mencari perjuangan dalam diri anda.

“Kanser ada BOLEH sebab kita BOLEH kalahkan. Mewujudkan kesedaran tentang pemeriksaan kendiri dan diagnosis awal adalah sangat penting untuk mengatasi sebarang kanser.

“Ini semua tentang menjadi proaktif dengan kesihatan anda. Dapatkan pemeriksaan am anda dengan doktor dan sentiasa memantau kesihatan anda kerana kesihatan kita adalah bahagian terpenting dalam kehidupan,” tulis di Facebook miliknya sambil memuatnaik gambar kembali berlatih di atas padang.

Pada akhir Julai lalu, Selangor FC mengesahkan Brendan Gan menghidap kanser testis.

Dalam satu kenyataan menerusi akaun Facebook rasmi kelab, SFC menjelaskan pemain tengah berusia 33 tahun itu sudah berjaya menjalani pembedahan dan kini dalam pemantauan pakar perubatan.

“Walaupun diuji, Brendan tetap optimis dan kuat. Semoga kita semua dapat terus mendoakan kesihatan dan memberikan privasi kepada beliau sepanjang tempoh pemulihannya.

“Brendan tekad untuk kembali pulih secepat mungkin dan tidak sabar untuk kembali semula bersama pasukan.

“Seluruh warga SFC mendoakan agar Brendan cepat sembuh dan memohon semua penyokong untuk mendoakan yang terbaik buat beliau,” kata kenyataan itu.