Home Ekonomi Malaysia wajar lindungi kapal tempatan di bawah dasar kabotaj – MOSVA

Malaysia wajar lindungi kapal tempatan di bawah dasar kabotaj – MOSVA

KUALA LUMPUR – Malaysia wajar melindungi kapal tempatan di bawah dasar kabotajnya kerana ia juga memberi kelonggaran untuk penyertaan oleh penggiat asing.

Langkah itu akan menyediakan pemain domestik untuk mengambil bahagian dalam pembaikan kabel pada masa depan atau projek yang lebih besar sambil meletakkan Malaysia sebagai hab pusat data.

Akhirnya, pada masa depan ia akan merangsang perdagangan laut dan mengukuhkan status negara maritim Malaysia.

Inilah yang dilakukan oleh negara lain dan firma teknologi antarabangsa untuk melindungi pelaburan mereka dan Malaysia harus melakukan perkara yang sama, kata Presiden Persatuan Pemilik-Pemilik Kapal Sokongan Luar Pesisir Malaysia (MOSVA), Mohamed Safwan Othman.

Beliau turut menyokong gesaan dilakukan oleh beberapa pihak yang menyatakan walaupun Malaysia ingin menarik pelaburan langsung asing (FDI), ketetapan yang jelas harus dibuat antara menarik FDI dan melindungi pelaburan domestik.

Lebih-lebih lagi dalam menjaga kedaulatan negara iaitu industri perkapalan, katanya.

Mohamed Safwan berkata demikian bagi mengulas mengenai perdebatan baru-baru ini mengenai dasar kabotaj yang memberi kesan kepada industri kabel dasar laut.

Malaysia menarik balik pengecualian pembaikan kabel dasar laut pada November tahun lepas yang telah mencetuskan perdebatan bahawa ia telah menjejaskan FDI.

Dalam kes ini, Mohamed Safwan menegaskan bahawa kerajaan tidak seharusnya menolak pelaburan tempatan yang dibuat oleh syarikat tempatan yang terdiri daripada pemilik kapal dan pengusaha kapal.

“Kami memerlukan dasar untuk melindungi pengendali tempatan dan memastikan wang kekal berada dalam ekonomi tempatan dan bukannya mengalir keluar,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dasar kabotaj penting untuk melindungi industri tempatan, oleh itu ia perlu dikaji semula dan diperketatkan kerana terdapat banyak kelemahan yang merugikan  penggiat tempatan.

“Ia tidak menghalang syarikat asing menyertai kerja-kerja di perairan Malaysia tetapi kenapa kita perlu mengutamakan mereka sedangkan syarikat tempatan mempunyai keupayaan, aset dan berkebolehan.

“Kita harus melindungi syarikat kita sama seperti mereka mahu melindungi syarikat mereka,” katanya.

Melindungi industri tempatan bukan sahaja kepada industri perkapalan tetapi keseluruhan ekosistem kerana ia saling berkaitan dengan industri lain termasuk industri perbankan.

“Bayangkan jika pemilik kapal membuat pinjaman daripada bank tempatan untuk membina kapal menggunakan limbungan tempatan tetapi tidak mendapat pekerjaan kerana ia diberikan kepada syarikat asing.

Ia pasti akan memberi kesan buruk kepada keseluruhan ekosistem kerana limbungan kapal tempatan akan mendapat lebih sedikit tempahan dan pemilik kapal akan menghadapi kesukaran untuk membayar pinjaman mereka,” katanya.

Ditanya sama ada Malaysia mempunyai aset atau keupayaan untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan kabel, beliau berkata: “Malaysia mempunyai kapal yang diperlukan untuk pembaikan kabel dasar laut dan walaupun sekiranya tidak ada, kami sentiasa boleh melabur dan memperoleh kapal yang akan mempunyai kesan berganda terhadap industri pembinaan kapal dan pembaikan kapal serta bank tempatan.”

“Selama ini, syarikat asing melakukan kesilapan dalam mendapatkan kontrak tempatan terutama bagi Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan syarikat ini tidak membayar cukai di Malaysia,” kata beliau.

Mohamed Safwan berkata dasar kabotaj berperanan menjaga kepentingan dan kedaulatan negara, justeru adalah penting untuk menyemak semula dasar itu apabila difikirkan perlu.

“Kadangkala dasar itu mungkin ketinggalan zaman terutamanya apabila keperluan perniagaan dan industri berkembang, itulah sebabnya kita perlu mengkajinya.”

Setiausaha Agung MOSVA, Kapten Abdul Rahim Othman berkata kelonggaran terhadap dasar itu telah berlaku dari semasa ke semasa untuk menampung keperluan negara.

“Terdapat pelbagai jenis kelonggaran tetapi dalam masa genting seperti krisis pasca-pandemik COVID-19 adalah lebih penting untuk melindungi industri tempatan,” katanya.

Beliau juga berkata dasar kabotaj tidak melarang kapal asing beroperasi di perairan Malaysia sebaliknya ia berperanan sebagai garis panduan yang harus dipatuhi kapal asing.

Abdul Rahim menjelaskan bahawa beliau boleh memahami hujah antara keperluan untuk melindungi kapal tempatan di bawah dasar kabotaj itu dan melonggarkannya bagi menggalakkan pelaburan asing tetapi apa yang penting ialah rakyat Malaysia harus diutamakan.

Beliau menyokong langkah Malaysia untuk melindungi pemain tempatan kerana inilah yang dilakukan oleh negara lain dalam melindungi perdagangan laut mereka.

“Adakah anda mengharapkan negar-negara lain untuk melindungi Malaysia.

“Sebaliknya, negara lain akan melindungi ekonomi mereka sendiri terutamanya selepas pandemik. Jika anda melihat sekeliling, semua orang menghadapi kesukaran dan mereka perlu melindungi ekonomi tempatan terlebih dahulu dan barulah kita boleh bercakap tentang pelaburan asing,” katanya lagi.

Abdul Rahim berkata setakat ini, nilai perolehan kontrak bersih bagi 300 kapal perkhidmatan luar pesisir (OSV) ialah RM3 bilion, justeru kegagalan melindungi pemilik kapal tempatan akhirnya merugikan.

Menyokong pendapat Abdul Rahim ialah Pengerusi Persatuan Pemilik-Pemilik Kapal Malaysia (MASA), Datuk Abdul Hak Md Amin berkata dasar kabotaj tidak menghalang kapal asing daripada beroperasi di perairan Malaysia.

“Kementerian Pengangkutan juga telah mempercepatkan proses untuk memohon pengecualian lesen perkapalan domestik (DSLE) daripada 40 hari kepada tiga hari sahaja. Saya tidak faham kenapa kekecohan mengenai perkara ini tercetus,” kata Abdul Hak.

Kapal-kapal ini boleh memasuki perairan negara kemudian kerana kapal-kapal berkenaan bukan seperti perkhidmatan e-hailing yang boleh datang serta-merta dan memerlukan sedikit persiapan mereka sebelum datang ke sini,” katanya.

Perdebatan mengenai dasar kabotaj juga menjadi perhatian kerana pengumuman oleh Facebook dan Google baru-baru ini bahawa mereka akan mengambil bahagian dalam pembangunan sistem kabel bawah laut Apricot.

Sistem kabel sepanjang 12,000 kilometer itu yang dijangka beroperasi pada 2024 akan menghubungkan Singapura, Indonesia, Filipina, Taiwan, Jepun dan Guam bertujuan untuk meningkatkan sambungan Internet di rantau Asia-Pasifik.

Bagaimanapun, Malaysia dilaporkan telah diketepikan untuk projek tersebut.

MIDF Research Institute Sdn Bhd dalam satu laporan, ekoran Malaysia tidak terlibat dalam projek kabel bawah laut Aprikot yang disokong Facebook dan Google itu, ia akan mengakibatkan kehilangan sambungan dan pelaburan berkapasiti tinggi bernilai US$300 juta (RM1.25 bilion) hingga US$400 juta (RM1.66 bilion).

Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menyangkal dakwaan itu baru-baru ini dan menyatakan tiada peluang pelaburan digital yang terlepas dalam pelaburan pusat data selepas dasar kabotaj dikenakan semula untuk pembaikan kabel dasar laut.

Beliau juga berkata syarikat yang sama di belakang Apricot mempunyai rancangan baharu untuk Malaysia iaitu Kabel Ekspres Intra Asia akan melalui Kuching, Sarawak yang akan memberi manfaat kepada negara dan selaras dengan agenda MyDigital.

Abdul Hak dari MASA pula berkata dasar kabotaj tidak seharusnya menjadi kambing hitam untuk kehilangan FDI bernilai bilion dolar kerana projek Apricot menyaksikan syarikat telekomunikasi Filipina PLDT melabur US$80 juta dalam projek kabel itu.

“Terdapat pelbagai faktor mengapa Malaysia tidak dimasukkan dalam projek itu, misalnya projek itu mengelak kawasan yang mempunyai ketegangan geopolitik terutamanya selepas perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS).

Kesimpulannya, wujud konsensus dalam kalangan pemain tempatan bahawa dasar kabotaj Malaysia selain daripada melindungi sektor domestik, ia adalah fleksibel dengan membenarkan kapal-kapal selam asing beroperasi dan memperoleh manfaat. – MalaysiaGazette