BEIJING – Individu yang melawat pintu masuk pelabuhan-pelabuhan di sempadan China diminta elak daripada memasuki ibu kota negara ini.
Arahan itu dikeluarkan berikutan kebimbangan risiko penularan wabak Covid-19 dari luar negara.
Bahagian pentadbiran utara kecil Heihe, Erenhot dan Ejina, di sepanjang sempadan China dengan Rusia dan Mongolia, adalah antara kawasan paling teruk dilanda wabak di seluruh negara sejak pertengahan Oktober yang mengakibatkan lebih 1,200 kes jangkitan dalam negeri.
Walaupun jumlah jangkitan China adalah lebih rendah berbanding di kebanyakan negara lain, ia sedang melaksanakan dasar toleransi sifar terhadap kelompok tempatan dengan langkah ketat di sepanjang sempadan antarabangsa dan kawasan lain yang berisiko lebih tinggi.
”Orang ramai yang telah melakukan perjalanan dalam dua minggu sebelumnya ke bahagian pentadbiran peringkat daerah di pelabuhan masuk darat antarabangsa dinasihatkan supaya tidak memasuki ibu negara China untuk tujuan yang tidak penting, berkuat kuasa 17 Nov,” lapor Beijing Daily.
Namun laporan itu tidak menyebut sebarang langkah khusus yang akan diambil untuk mengekang kemasukan yang tidak perlu ke kawasan tersebut.
Mereka yang berhasrat untuk memasuki bandar itu harus menunjukkan bukti keputusan ujian Covid-19 negatif daripada 48 jam sebelumnya, menurut akhbar tersebut. – Reuters