GADEK – Pengundi sudah celik dan tahu siapa yang sebenarnya bekerja untuk mereka, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
Katanya, rakyat sedia maklum bahawa Barisan Nasional (BN) sudah bertapak lebih 60 tahun berpengalaman dalam menjaga kebajikan rakyat.
“Saya sudah mula berkempen, turun padang menggunakan cara norma baharu yang telah diperuntukkan kerajaan. Kita kerja, kita tidak mahu cakap banyak, kita banyakkan kerja,” katanya selepas menyantuni penduduk Gadek hari ini.
Tambah beliau, kini biar rakyat menilai kembali apa yang telah disumbang BN dan keyakinan akan diterjemahkan melalui undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Kata Abdul Azeez, keyakinan penduduk terhadap BN masih lagi utuh selepas pertukaran kerajaan beberapa kali sebelum ini.
“Kestabilan itu juga penting kerana pada mereka, pemimpin tidak sepatutnya bercakaran dan gila kuasa sebaliknya diundi, diberikan mandat untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette