Home Politik Undilah BN, ia dacing untuk kestabilan politik – Shanmugam

Undilah BN, ia dacing untuk kestabilan politik – Shanmugam

Calon N07 Gadek, P Shanmugam.

MELAKA – Calon tunggal MIC dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, VP Shanmugam berharap pengundi terutamanya undi pos esok supaya berfikir panjang sebelum mengundi pemimpin mereka.

Calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N07 Gadek itu yang juga Ketua Bahagian MIC Kota Melaka itu berbesar hati supaya pengundi memangkah logo dacing yang terbukti mempunyai rekod memerintah negara selama lebih 60 tahun.

“Saya tidak kata ini kerana saya adalah calon Barisan Nasional (BN) sebaliknya anda boleh lihat sendiri bagaimana sejak tiga tahun kebelakangan kerajaan bertukar-tukar.

“Kestabilan yang kerajaan BN bina selama puluhan tahun tergugat apabila pengundi bertindak mengundi parti lain yang hanya sekadar berjanji itu dan ini kemudian kebajikan rakyat entah ke mana kerana masing-masing sibuk tukar kerajaan.

“Ketika BN teraju dan memimpin krisis seperti ini tidak pernah berlaku, kerja lompat-melompat tidak pernah berlaku, ketika ini keadaan politik agar caca marba sehingga rakyat hilang keyakinan dan buntu kerana sikit-sikit kerajaan jatuh,” katanya ketika ditemui semalam.

Pada 2018 MIC gagal mempertahankan kerusi berkenaan selepas calonnya P Panirchelvam kalah kepada Saminathan dengan hanya majoriti 307 undi dengan seramai 12,922 pengundi berdaftar di DUN berkenaan ketika itu.

Shanmugam akan berdepan dengan enam penjuru dengan antara pesaingnya, penyandang G Saminathan (DAP PH), Mohd Amir Fitri Muharam (Bersatu PN), Laila Norinda Maon (Putra), Azafen Amin (Bebas) dan Mohan Singh (Bebas).

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November, berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas, selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap ketua menteri. –  MalaysiaGazette