MELAKA – Menjadi calon baharu bagi satu-satunya parti ‘underdog’ tidak melemahkan semangatnya kerana mempunyai kemahiran lain termasuk menguasaitiga bahasa untuk menawan hati pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya.
Beliau adalah calon Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) Abdul Aziz Osani Kasim yang berusia 52 tahun.
Abdul Aziz dilihat sudah ‘mengalahkan’ 111 calon bertanding kerana boleh berbahasa Melayu, Mandarin dan Tamil dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selepas penamaan calon 8 November lalu.
Malah, Ketua Cawangan IMAN Machap Baru itu juga melihat latar belakang keluarganya sebagai peneroka termasuk pernah menjadi penoreh getah dan pengawal keselamatan sebuah pasar raya sebagai satu ‘bonus’ yang memudahkannya mendekati penduduk kebanyakannya adalah masyarakat kampung.
Beliau juga tidak malu mengaku berpendidikan setakat sekolah menengah atau Sijil Rendah Pelajaran (SRP) berbanding calon-calon lain kerana bagi saya itu bukanlah ukuran untuk memenangi hati rakyat.
Abdul Aziz yang ditemui pemberita di Bilik Gerakan IMAN di Taman Lesung Batu, Alor Gajah kini memiliki perniagaan sendiri, iaitu restoran dan kedai barangan lusuh.
“Mungkin saya lahir dari sebuah keluarga dan parti yang kecil, namun rakyat yang berada di tokong, kuil dan masjid di sini sudah ‘masak’ dengan gerak kerja saya sejak tujuh tahun lalu,” katanya.
Katanya, beliau telah banyak menyumbang kepada pembangunan dan pendidikan di DUN berkenaan khususnya Kampung Machap Baru dan Air Pasir.
Antaranya menubuhkan Tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Ar Rayyan dan menyumbang pelbagai kemudahan kepada Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Kampung Machap Baru.
“Sebenarnya, banyak lagi perancangan yang saya mahu bawa di DUN ini namun kemampuan dan ‘kuasa’ saya terhad sebagai ahli perniagaan untuk membawa perubahan di Machap.
“Sebab itu saya perlu menjadi wakil rakyat agar rancangan untuk memajukan ekonomi penduduk kampung di sini dapat direalisasikan tidak sekadar hanya orang melihat Machap ini sebagai sebuah daerah kecil untuk orang pencen,” katanya.
Jelas Abdul Aziz Osani, antara rancangan masa hadapan yang mahu dibawa adalah mewujudkan sebuah mini Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) bagi kemudahan masyarakat khususnya warga emas melakukan urusan harian selain meningkatkan ekonomi.
Menurutnya, ini kerana kebanyakan penduduk ‘veteran’ di DUN itu tidak mampu untuk bergerak jauh kerana tidak mempunyai kemudahan pengangkutan sendiri.
“Berdasarkan maklum balas yang diterima, ada banyak juga warga emas yang tinggal sendirian dan tidak mempunyai anak-anak untuk membantu mereka berurusan di pejabat-pejabat kerajaan yang terletak jauh di bandar Melaka.
“Bila adanya mini RTC di sini, dapatlah ia memudahkan urusan seharian mereka selain dapat memasarkan hasil pertanian dan produk-produk kampung lain untuk meningkatkan ekonomi mereka,” katanya.
Tambahnya, antara fokus lainnya adalah untuk memperbaiki kemudahan pengangkutan awam jika menang pada 20 November ini.
“Ketika ini, perkhidmatan bas hanya disediakan dua kali sehari sehingga menyukarkan penduduk berurusan di pekan Alor Gajah,” katanya.
DUN Machap Jaya yang mempunyai seramai 12,487 pengundi bakal menyaksikan pertembungan lima penjuru antara Abdul Aziz Osani, Ngwe Hee Sem (Barisan Nasional -MCA), Law Bing Haw (Pakatan Harapan-PKR), Azlan Daud (Bebas) dan Tai Siong Jiul (Perikatan Nasional- Bersatu). – MalaysiaGazette