KUALA LUMPUR – Pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih di Bursa Malaysia untuk minggu keenam berakhir 12 Nov, dengan aliran masuk bersih berjumlah RM359.14 juta berbanding RM67.94 juta minggu sebelumnya, kata MIDF Research.
Dalam Laporan Strategi yang dikeluarkan hari ini, firma penyelidikan itu berkata, semasa pasaran dibuka semula pada urus niaga Isnin lepas, institusi dan peruncit tempatan adalah penjual bersih dan pembeli bersih, masing-masing mencatatkan nilai sebanyak -RM142.56 juta dan RM13.32 juta.
Ia berkata, aliran masuk asing terbesar dicatatkan pada Jumaat dan satu-satunya aliran keluar ialah pada Selasa. masing-masing berjumlah RM177.45 juta dan -RM47.66 juta.
“Peruncit adalah pembeli bersih setiap hari untuk minggu tersebut dan pembelian bersih terbesar oleh peruncit dicatatkan pada hari Selasa dan belian bersih paling sedikit pada Jumaat, masing-masing berjumlah RM80.38 juta dan RM12.45 juta,” katanya.
Selain itu, ia turut menambah institusi tempatan merekodkan jualan bersih mingguan terkumpul sebanyak -RM544.49 juta, menyaksikan institusi tersebut sebagai penjual bersih setiap hari dalam minggu berkenaan dengan jualan bersih terbesar pada hari Jumaat bernilai -RM189.90 juta, manakala aliran keluar bersih paling sedikit dicatatkan pada Selasa berjumlah -RM32.72 juta.
“Sejak awal 2021, secara kumulatif, peruncit merupakan satu-satunya pembeli bersih pasaran ekuiti kita dengan nilai RM11.36 bilion.
“Institusi tempatan dan pelabur asing adalah penjual bersih, masing-masing mencatatkan -RM9.61 bilion dan -RM1.75 bilion,” katanya.
Dari segi penyertaan, firma penyelidikan itu berkata pelabur runcit, institusi tempatan dan pelabur asing masing-masing merekodkan pergerakan mingguan -1.70 peratus, -14.66 peratus dan -19.91 peratus, dalam purata nilai dagangan harian (ADTV).
Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pelabur asing telah mengumpul saham tempatan walaupun trend agak menyederhana sejak akhir-akhir ini.
“Walaupun ini merupakan petunjuk positif terhadap aset Malaysia oleh dana asing, keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku ketiga yang terkini tahun 2021 bertindak sebagai peringatan bahawa ekonomi sangat mudah terdedah kepada sekatan terhadap mobiliti manusia,” katanya kepada Bernama.
Oleh itu, beliau berkata peningkatan purata kadar boleh jangkit sebanyak 1.0 baru-baru ini menunjukkan bahawa risiko yang berkaitan dengan COVID-19 dan kemungkinan pelaksanaan semula satu lagi pusingan Perintah Kawalan Pergerakan tidak boleh diketepikan sepenuhnya.
“Pada masa ini, prospek ekonomi masih positif dengan negara berada di landasan untuk mencapai pertumbuhan tiga hingga empat peratus tahun ini dan 5.5 hingga 6.5 peratus tahun depan.
“Ini bermakna pendapatan syarikat akan mencatatkan prestasi yang baik pada 2022 kerana akan ada permintaan terpendam ke atas barangan dan perkhidmatan,” katanya. – MalaysiaGazette