Home Politik Jentera wanita main peranan besar tentukan kemenangan – Mohana

Jentera wanita main peranan besar tentukan kemenangan – Mohana

Ketua Wanita MIC Kebangsaan, Datuk Mohana Muniandy dalam Program Melaka Memilih terbitan MalaysiaGazette di Melaka baru-baru ini.

MELAKA – Wanita adalah tulang belakang jentera sesebuah parti atau calon Pilihan Raya (PRN) Melaka (PRN)  walaupun berdepan dengan kempen norma baharu.

Ketua Wanita MIC Kebangsaan, Datuk Mohana Muniandy positif dengan kemenangan Barisan Nasional (BN) memandang kerja kuat wanita daripada gabungan parti itu.

Bercakap dalam program Melaka Memilih terbitan MalaysiaGazette di sini baru-baru ini, beliau berkata, peranan wanita akan menjadi ukuran kepada kemenangan BN kelak.

Dengan pengalaman luas beliau dalam menghadapi 16 Pilihan Raya Kecil (PRK) dan empat Pilihan Raya Umum (PRU) atas kapasiti jentera wanita, dirinya cukup maklum peranan dan sumbangan tersebut.

“Sebenarnya amat besar sekali peranan wanita yang kita tidak dapat nafikan sebalik gerak kerja dan komitmen mereka bagi memenangi pilihan raya bukan sahaja PRN Melaka sebaliknya semua pilihan raya sebelum-sebelum ini dan selepas ini yang sekaligus membolehkan BN menang besar dan bentuk kerajaan.

“Saya lihat dalam PRN ini, peranan wanita merupakan jentera yang menjadi frontliners, sentiasa siap siaga dan bersemangat. Saya sendiri perlu overlook lebih 32,000 pengundi wanita India di seluruh negeri dan juga khas untuk kerusi DUN Gadek yang merupakan calon tunggal MIC,” katanya.

Mohana Muniandy

Kata Mohana, sejurus selepas menang jawatan dalam pemilihan parti MIC tidak sampai tiga hari beliau bergegas ke Melaka untuk memulakan tugasannya bertemu dengan setiap jentera Wanita MIC di setiap DUN dan Pusat Daerah Mengundi (PDM).

“Tidak ada masa untuk rai kemenangan atau sambut Deepavali, PRN Melaka ini amat penting buat kita dalam BN. Walaupun jentera wanita pada peringkat nasional ini penting dan besar tetapi apa yang lebih kita fokus adalah jentera wanita tempatan atau lokal di lokaliti masing-masing.

“Kita perlu faham sesuatu di sini (Melaka) cara wanita bekerja sangat berlainan dan tersendiri. Melalui gerak geri, percakapan dan paling penting pendengaran. Kita boleh masuk terus ke bahagian dapur, bercakap dan mendengar dengan sabar apa sebenarnya yang hendak diluahkan oleh pengundi itu.

“Ingat ya, kita baru sahaja selepas ujian besar iaitu Covid-19. Banyak sangat masalah timbul selepas pandemik ini, kita dengar dulu, walaupun tidak boleh selesai kita dengar dulu.

“Jentera yang kita pilih ini juga ikut SOP, wanita kita akan mula bercakap dengan keluarga masing-masing, sanak saudara, kawan-kawan untuk mengundi calon-calon kita. Kerana itulah jentera lokal itu amat penting kerana masing-masing kenal sesama sendiri sebenarnya,” katanya lagi.

Menurutnya, pihaknya akan menggunakan platform media sosial walaupun ia sebenarnya sukar tetapi perlu menjadikannya sebagai norma baharu.

“Sebenarnya ini juga memberikan peluang kepada kita berinteaksi dengan pengundi secara dekat, contoh yang penggunaan talian hotline melalui aplikasi WhatsApp,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohana optimis dengan sokongan rakyat terhadap BN pada masa ini.

“Walaupun ini norma baharu tetapi kita ada keyakinan cukup tinggi BN akan kembali berkuasa di Melaka tidak lama lagi.

“Untuk itu saya perlu juga berterima kasih kepada keseluruhan jentera BN dan UMNO terutamanya wanita yang sudah all out dan sedang all out pada masa ini.

“Bagi kerusi DUN Gadek pula, bukan sahaja Presiden kami, Tan Sri SA Vigneswaran berkempen sebaliknya keseluruhan pimpinan tertinggi dalam MIC sedang berkampung di sini demi calon tunggal kami,” jelasnya.

Pada PRN kali ini, BN telah menampilkan 28 calon sekali gus bertanding secara bersendirian tanpa kerjasama parti lain.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November, berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas, selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap ketua menteri. – MalaysiaGazette