Home Sukan Kelab EPL setuju jendela perpindahan pemain tutup awal

Kelab EPL setuju jendela perpindahan pemain tutup awal

LONDON – Kelab-kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) bersetuju untuk perpindahan dan pembelian pemain musim hadapan ditutup sebelum musim 2018/19 bermula Ogos tahun depan.

Kebanyakan pengurus kelab dari England merungut pembelian pemain semasa permulaan musim pada Ogos setiap tahun mengganggu persiapan pasukan.

Keputusan sudah dimuktamadkan semalam – bermakna bermula musim depan jual beli pemain akan ditutup sebelum aksi EPL bermula.

Sebanyak 14 kelab telah mengundi menyokong pindaan baharu yang bakal dikuatkuasakan itu.

Pun begitu, kelab gergasi seperti Manchester United, Manchester Cituy, Watford, Swansea dan Crystal Palace menentang pindaan tersebut.

Sementara kelab Burnley pula memilih untuk berkecuali dalam cadangan itu.

Pada kebiasaannya jendela musim perpindahan dan jualan pemain dilaksanakan sehingga 31 Ogos.

Tetapi dengan pindaan baharu nanti, aktiviti pembelian pemain akan ditutup awal pada 9 Ogos setiap tahun sebelum aksi EPL membuka tirai.

Peraturan baharu EPL ini hanya dilaksanakan di England sahaja dan tidak diguna pakai untuk kelab Eropah lain, yang mana mereka boleh meneruskan pemindahan pemain sehingga 31 Ogos.

Dalam pada itu, para jurulatih kelab bola sepak lain di Eropah telah memberi petunjuk dan kecenderungan untuk mengikuti cara tersebut.

Bagaimanapun mereka mahu dialog berterusan diadakan bersama pemegang saham dan pihak berkepentingan dalam bola sepak sebelum sebarang keputusan dibuat dalam perkara ini.

Ini tidak bermakna jendela perpindahan pemain untuk kelab EPL dipendekkan.

Sebaliknya masa sepanjang 12 minggu dianggap sejajar dengan peraturan FIFA.

Musim bola sepak tahun depan agak berbeza ekoran kempen Piala Dunia 2018 di Rusia akan berakhir pada 15 Julai.

Sepanjang tempoh itu kelab EPL boleh meneruskan urusan jual beli pemain baharu.

Pun begitu, Pengurus the Red Devils, Jose Mourinho berpendapat peraturan baharu jendela pindaan pemain akan menjejaskan kelab Inggeris.

Ketua Pengarah kelab Itali, Juventus Giuseppe Marotta pula menyokong keputusan kelab EPL dan mahu sistem itu diikuti kelab Serie A.

“Saya menyambut tindakan EPL, langkah itu perlu dipanjangkan kepada perbincangan lanjut di peringkat Eropah,” katanya. – MalaysiaGazette