Home Dunia Kanak-kanak perempuan terselamat nahas pesawat di Michigan

Kanak-kanak perempuan terselamat nahas pesawat di Michigan

Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun satu-satunya mangsa terselamat dalam nahas pesawat di Michigan yang mengorbankan empat orang pada Sabtu lalu.- Gambar hiasan.

MICHIGAN – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun satu-satunya mangsa terselamat dalam nahas pesawat di Michigan yang mengorbankan empat orang pada Sabtu lalu.

Menurut Sheriff Daerah Charlevoix, Leftenan William Church, mangsa berada di atas sebuah pesawat ringan apabila ia terhempas berhampiran Pulau Beaver yang terletak di hujung utara Tasik Michigan, kira-kira 40 batu barat laut bandar Charlevoix.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) berkata, pesawat Britton-Norman BN2P terhempas sekitar pukul 2.30 petang.

Pengawal Pantai Amerika Syarikat (USCG) juga sedang menjalankan penerbangan latihan di kawasan itu dan bertindak balas selepas menerima amaran Pemancar Pencari Kecemasan yang menghantar mereka kepada nahas, menurut tweet dari USCG Great Lakes.

Kru helikopter mendarat dan memberi bantuan kepada kanak-kanak terbabit dan seorang lelaki dewasa ke Hospital McLaren di Petoskey.

Lelaki itu kemudian disahkan meninggal dunia di hospital, kata jurucakap USCG kepada CNN.

Mangsa nahas itu dikenal pasti sebagai Kate Leese dan Adam Kendall – kedua-duanya berasal dari Pulau Beaver.

Dua anjing turut mati dalam nahas itu, kata pihak berkuasa.

FAA dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan sedang menyiasat punca nahas itu, kata FAA.- CNN