Home Nasional Bersatu Johor tidak terpengaruh provokasi Shahrir Samad

Bersatu Johor tidak terpengaruh provokasi Shahrir Samad

Solihan Badri

ISKANDAR PUTERI – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor tidak akan terpengaruh dengan provokasi dilakukan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang mencabar kepimpinan parti untuk menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad.

Ketua Penerangannya, Mohd. Solihan Badri berkata, pada masa ini semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu kekal menyokong kerajaan sedia ada dan tidak mahu Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

Beliau yang yakin ADUN Bersatu Johor tidak akan bertindak melulu memberitahu, sebarang keputusan dibuat mengikut kebaikan untuk jangka masa panjang dan bukan berdasarkan emosi atau provokasi.

“Ini kerana kita memikirkan kesejahteraan rakyat dan bukan sebaliknya. Kalau bubar, kita (Bersatu) banyak kehilangan, tiada jawatan Exco, tidak ada apa tetapi bukan kerana itu, kita fikirkan kesinambungan kerajaan untuk membantu rakyat.

“Fikir panjang, sekurang-kurangnya sehingga apabila tiba masanya (Pilihan Raya Umum),” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Sesi Roadshow Pasca Rancangan Malaysia Ke-12 di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, di sini, semalam.

Pada 12 November lalu, Shahrir menerusi hantaran Facebook menyatakan UMNO Johor bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) jika Perikatan Nasional (PN) mahu menarik sokongan terhadap kerajaan negeri yang dipimpin oleh UMNO.

Bagaimanapun, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan veteran UMNO itu sebagai ‘bodoh’ dan ‘tidak bertanggungjawab’ kerana mencabarnya mengarahkan ADUN parti itu menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.

Mohd. Solihan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri mendakwa, tindakan Shahrir yang mencabar Muhyiddin turut tidak disenangi segelintir ahli UMNO dan perkara itu telah disampaikan kepada pihaknya.

“Bukan sahaja kami tetapi orang UMNO Johor juga tidak puas hati dengan kenyataan dibuat Shahrir. Dia tu orang tua, yang berpengalaman dan sepatutnya tidak berfikir singkat sedemikian dengan mencabar kita.

“Memang betul kata Tan Sri Muhyiddin, kalau dia arah kita untuk tarik sokongan, kita orang parti.

“Tapi kita pilih untuk tidak berbuat seperti itu kerana di sini Johor lain, kita tak nak buat macam tu. Rakyat lantik kita untuk kita berkhidmat, itu sebab utama,” katanya. – MalaysiaGazette