Home Politik Muak ahli politik, rakyat mahu calon bebas bertanding – Dr. Azlan

Muak ahli politik, rakyat mahu calon bebas bertanding – Dr. Azlan

Calon bebas N.26 Serkam, Datuk Norazlanshah Hazali menunjukkan akuan bersumpah (SD) yang ditandatangani bagi memastikan tidak ada calon menyertai mana-mana parti politik selepas memenangi PRN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Menara Persekutuan, Ayer Keroh, Melaka. Foto FAREEZ FADZIL, 15 NOVEMBER 2021.

MERLIMAU – Punca utama 13 calon bebas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bertanding disebabkan keluhan rakyat yang sudah muak dengan ahli-ahli politik yang suka lompat parti.

Wakil mereka yang juga calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, Datuk Dr. Norazlanshah Hazali berkata, kesemua mereka menerima tawaran daripada rakyat di Melaka untuk bertanding memandangkan desakan untuk menjaga kestabilan politik di Melaka.

“Kami calon bebas ini serba kekurangan, kita akui sebab saya tidak ada latar belakang politik dan lebih kepada NGO.

Calon Bebas N.26 Serkam, Datuk Norazlanshah Hazali beramah mesra bersama penduduk setempat semasa membuat lawatan ke kedai runcit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Kampung Paya Tanjung, Merlimau, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 15 NOVEMBER 2021.

“Panggilan rakyat di Melaka yang minta NGO hantar wakil, kami (pengundi) sudah tidak mahu calon-calon daripada politik kami sudah derita. Nanti mereka pilih mereka lompat parti lagi ada pula PRN lagi sekali.

“Kita nak politik dan ekonomi yang stabil bukannya kita nak makin mundur, nak stabilkan. Wakil rakyat pula yang jadi keutamaan,” katanya yang juga mesra disapa Dr. Azlan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sebelum itu, seramai 13 calon bebas PRN Melaka menubuhkan Gagasan Bebas dan mengistyharkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya yang mereka tidak akan melompat ke mana-mana parti politik sekiranya menang dalam PRN Melaka kelak.

Calon Bebas N.26 Serkam, Datuk Norazlanshah Hazali bercakap selepas membuat lawatan ke kedai runcit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Kampung Paya Tanjung, Merlimau, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 15 NOVEMBER 2021.

Ditanya mengenai penggunaan medium kempen yang dilihat minimum, Norazlanshah yang juga bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu berkata, Gagasan Bebas lebih mengutamakan kempen di media sosial.

Ini kerana kekangan SOP yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Saya dengan rakan-rakan NGO Fikrah, kami kehadapan untuk membantu rakyat mana yang mampu, kalau diberikan mandat banyak lagi yang boleh kita bantu dan betulkan apa yang tidak betul.

“Kempen kami orang tanya kenapa tidak ada bendera? Saya rasa bendera ini memerlukan belanja yang besar dan rakyat sekarang tengah susah dan tidak sampai hati nak labur duit dekat bendera dan habis PRN kita buang dan bakar. Ini satu pembaziran, baik saya bagi kepada orang susah.

“Saya banyak kempen secara dalam talian. Menang dahulu dan bagi kami peluang untuk buat yang terbaik,” kata pakar toksikologi, keselamatan dan terapi makanan itu.

Norazlanshah antara 13 calon bebas yang bertanding di PRN Melaka kali ini yang mengambil langkah bergabung dan berkongsi manifesto untuk bersama-sama bagi menentang 99 calon lagi lain.

Gabungan dikenali sebagai ‘Gagasan Bebas’ itu merangkumi Ariff Adly Mohammad (Telok Mas); Mohd Zahar Hashim (Sungai Udang); Abdul Hamid Mustapah (Bukit Katil); Ahmad Muaz Idris (Ayer Molek); Datuk Kamisan Palil (Kuala Linggi); Datuk Dr Norazlanshah Hazali (Serkam).

Selain itu, Mohd Akhir Ayob (Asahan); Azefen Amin (Gadek); Mohd Jaini Dimon (Paya Rumput); Azlan Daud (Machap Jaya); Mohd Erfan Mahrilar (Durian Tunggal); Muhamad Hafiz Ishak (Duyong) dan Sabarudin Kudus (Rembia). – MalaysiaGazette