NEW YORK – Jaguh tenis lelaki, Juan Martin del Potro bersedia untuk mengejutkan bintang nombor satu dunia, Rafael Nadal dalam pertemuan di Separuh Akhir Terbuka Amarika Syarikat esok.
Pemain Argentina itu dijangka meneruskan kemaraan dalam kejohanan berprestij itu apabila bertemu Nadal nanti untuk melangkah ke pusingan akhir.
Pemain yang menduduki tempat ke-24 dalam ranking dunia itu bangkit menewaskan Dominic Thiem pada pusingan keempat dan juara lima kali Roger Federer di Suku Akhir semalam.
Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir, Pemain tenis Sepanyol Pablo Carreno Busta dan Kevin Anderson dari Afrika Selatan akan bertarung untuk menempah tiket ke final.
Del Potro menjadi berita sensasi pada minggu kedua kejohanan itu ekoran kebangkitan dengan Thiem dan menundukkan Federer.
Bagaimanapun pemain itu mengakui, dia tidak berada dalam keadaan terbaik secara fizikal.
“Tetapi apa juga boleh berlaku dalam Separuh Akhir nanti, jadi kita harus bersedia untuk mengharungi peluang.
“Bermain dengan Nadal adalah aksi kegemaran saya dan akan cuba menghayati suasana itu di atas gelanggang.
“Saya tahu jika saya menampilkan aksi terbaik, ia akan menjadi bahaya untuk Nadal,” katanya.
Del Potro juga tidak pasti dengan strategi yang akan digunakan untuk mengejutkan lawannya itu.
Dia mahu memastikan tidak lari lebih kerap semasa perlawanan kerana kakinya sudah letih.
Nadal, 31, dijangka mengakhiri musim Grand Slam kali ini dengan kejuaraan kedua tahun ini dan 16 kejuaraan kesemuanya dalam karier setakat ini.
Persembahannya bertambah baik di New York kali ini.
“Sukan bukannya sukar seperti yang kita sangkakan, pemain mana yang beraksi lebih baik dia berpeluang untuk mara.
“Yang penting kita beraksi pada prestasi terbaik tanpa masalah dan jika saya dapat mengekalkan prestasi, saya mempunyai kelebihan kali ini,” katanya. – MalaysiaGazette