MASJID TANAH – Seramai 44 orang akan mengundi awal di Balai Polis Masjid Tanah esok.
Penolong Pengurus Pentadbiran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Lendu, Siti Mazlina Isa berkata, persiapan pengundian awal yang dilakukan pihaknya berjalan lancar.
“Seperti sebelum ini, di sini disediakan khemah Kementerian Kesihatan (KKM) dan khemah untuk pengundi bergejala,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.
Namun pihaknya sentiasa berjaga-jaga sekiranya terdapat pengundi yang dijangkiti Covid-19, ujar beliau.
Sementara itu, Siti Mazlina mengingatkan pengundi supaya membawa kad pengenalan.
“Yang kedua, tolong jalankan apa saranan KKM iaitu pakai pelitup muka dan jaga penjarakan fizikal,” katanya.
Seramai 11,557 orang pengundi akan mengundi awal esok pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-15.- MalaysiaGazette