KUALA LUMPUR – Kelibat pemain Kedah Darul Aman FC, Fadzrul Danel dan Asnan Ahmad mencuri perhatian ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora dalam perlawanan suku akhir pertama TM Piala Malaysia, semalam yang menyaksikan pertembungan dua pasukan itu berakhir tanpa jaringan.
Mora mengakui sudah lama menanti perlawanan yang sengit seperti ini selepas 17 kemenangan berturut-turut dalam aksi Liga Super dan TM Piala Malaysia musim ini dengan menyifatkan pasukan tuan rumah benar-benar memberi tentangan hebat kepada mereka.
Bahkan, pengendali berusia 42 tahun ini turut memuji persembahan yang ditampilkan pemain lawan terutamanya Fadzrul dan Asnan yang antara menjadi penghalang kepada asakan JDT untuk memburu gol.
Namun, keputusan yang diraih di Stadium Darul Aman semalam tidak mematahkan semangat JDT untuk memastikan pasukan mampu meraih kemenangan berharga di laman sendiri bagi aksi suku akhir kedua, Khamis ini.
“Pemain berjersi nombor 20 (Fadzrul) dan 4 (Asnan) sangat-sangat cemerlang, mempunyai semangat juang yang tinggi, ada personaliti yang bagus, dan mereka tahu apa yang perlu dibuat walaupun tanpa pemain dari Singapura (M. Anumanthan).
“Dan Baddrol Bakhtiar semestinya pemain berpengalaman yang tahu macam mana untuk bermain dengan masa yang ada, jadi saya rasa ia satu perlawanan yang cukup sengit.
“Saya rindu untuk tengok aksi seperti ini tanpa kita tahu apa yang akan berlaku dan selepas 17 kemenangan kita raih, saya rindukan situasi dalam padang macam ini, ianya bagus untuk pasukan dan untuk pemain juga.
“Kedah memang memberikan tentangan yang cukup kuat dan bagus untuk kita terus melawan, jadi sekarang saya rasa bonus untuk kita pula apabila beraksi di laman sendiri, dan kita akan beraksi dengan bersungguh-sungguh untuk memenangi perlawanan itu nanti”, jelasnya.
Dalam pada itu, pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak menyifatkan anak buahnya tidak gentar untuk terus mempamerkan aksi lebih konsisten di Stadium Sultan Ibrahim pula meskipun JDT sentiasa menjadi pilihan untuk mara ke separuh akhir.
Secara keseluruhan, beliau cukup berpuas hati dengan prestasi barisan pemain untuk sedaya upaya memastikan gawang tidak dibolosi walaupun hanya beraksi dengan dua pemain import sahaja iaitu Kpah Sherman dan Renan Alves.
“Memang selalunya JDT akan menjadi pasukan pilihan, jadi tidak kisah kami bermain di tempat lawan atau sebaliknya, semua nak tengok JDT di final.
“Saya hanya boleh cakap, kami hanya merendah diri sahaja dan berharap kita mampu melakukan kejutan setakat mana yang mampu kita buat.
“Kredit kepada semua pemain di mana mereka melaksanakan perancangan yang ditetapkan dengan baik, dan saya ada bercakap dengan mereka sebelum perlawanan bagaimana mereka perlu ada keinginan, disiplin serta keazaman yang tinggi dan ternyata aksi malam ini (semalam) adalah lebih baik berbanding ketika menentang Melaka United tempoh hari”, jelasnya.
Antara keputusan lain yang diraih dalam aksi suku akhir pertama semalam adalah pertembungan antara Selangor FC dan Kuala Lumpur City FC yang menyaksikan skuad kendalian Bojan Hodak menang 2-0 manakala Terengganu FC menewaskan Sarawak United FC, 2-1.
Di Stadium Likas pula, Sabah tewas kepada Melaka United dengan keputusan 0-1 dan empat perlawanan suku akhir kedua TM Piala Malaysia akan berlangsung pada Khamis ini. – MalaysiaGazette