Home Politik Media sosial lebih relevan berbanding tv, perkenal calon – Zahida

Media sosial lebih relevan berbanding tv, perkenal calon – Zahida

Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Rafik Khan, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 14 NOVEMBER 2021.

AYER KEROH – Informasi di hujung jari, itu kaedah yang menjadi pilihan kepada para pengundi hari ini yang lebih mudah mendapatkan maklumat menerusi telefon pintar berbanding saluran televisyen.

Perkara itu diakui sendiri Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan dalam mendepani pengundi muda yang mudah didekati melalui media sosial, apatah lagi kekangan berkempen secara fizikal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

“Prosedur operasi standard (SOP) pada PRN Melaka kali ini memang agak ketat dan sukar calon-calon untuk berkempen dalam masa singkat ini, sebahagian daripadanya adalah calon-calon baharu.

“Seharusnya media sosial dijadikan sebagai medium terbaik untuk calon-calon mengetengahkan dan berkempen untuk diri masing-masing. Sekarang ini media sosial lebih relevan dibandingkan dengan tv, walaupun segelintir masih menonton tv.

“Kita berada dalam fasa norma baharu, kebanyakkanya lebih terpikat atau tertarik menggunakan media sosial untuk mendapatkan informasi mengenai berkempen, saya rasa media sosial lebih baik,” katanya kepada MalaysiaGazette, baru-baru ini.

Bermula semalam, semua calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan diberi ruang untuk memperkenalkan diri menerusi saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa bagaimanapun berkata, ia hanya terhad kepada pengenalan biodata dan poster calon bertanding.

Kebenaran itu diputuskan dengan mengambil kira kesukaran calon bertanding untuk berkempen dalam situasi norma baharu.

Zahida juga tidak menafikan kempen secara maya lebih mencabar berbanding secara fizikal kerana jentera Barisan Nasional (BN) sukar menyantuni pengundi secara bersemuka.

“Kadang-kala bukan sebab telefon sahaja, rangkaian internet yang tidak sampai di sesetengah tempat, menyukarkan untuk golongan yang tidak menggunakan telefon pintar ini untuk kita dekati.

“Jadi kita masih perlu menggunakan kempen bersemuka dan fizikal, tetapi berkempen dengan menjaga SOP. Kesian juga kepada warga emas tidak biasa dengan media sosial.

“Orang muda sangat mengharapkan media sosial untuk mendapatkan maklumat. Kita banyak menggunakan grup Facebook komuniti, kita gunakan grup WhatsApp untuk sampaikan informasi calon-calon kita,” katanya.

Selain itu, sesi minum petang bersama rakyat menjadi pilihan setiap parti politik yang bertanding untuk beramah mesra dengan rakyat susulan kempen secara rumah ke rumah dan walkabout dilarang dalam pilihan raya kali ini.

“Kita pun tak tahu sama ada mereka ini minum pagi atau minum petang, secara tidak langsung bila kita duduk di kampung dan kedai-kedai kopi, di situ mungkin orang tempatan dan mungkin mereka juga boleh menyuarakan isu atau luahan hati masing-masing,” katanya.

Ditanya tentang tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengatakan BN sudah berakhir, beliau bagaimanapun menegaskan, sekiranya parti itu tumbang, mana mungkin ia boleh bangkit hingga menjadi kerajaan pada hari ini.

“Saya yakin dan percaya pengundi-pengundi bijak, 22 bulan kita duduk zaman Pakatan Harapan (PH), kemudian rakyat mula menilai, rakyat mula buka mata, sekarang BN telah kembali bangkit

“Insya-Allah saya yakin dan percaya PRN Melaka ini menjadi satu tirai pembukaan BN akan menang, Insya-Allah PRU15 akan datang juga dapat memerintah negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette