Home Politik Azmin solat Subuh bersama penduduk di Masjid Al-Abrar

Azmin solat Subuh bersama penduduk di Masjid Al-Abrar

Mohamed Azmin Ali ketika hadir menunaikan solat Subuh berjemaah. Foto: Facebook Azmin Ali

MELAKA – Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meluangkan masa solat berjemaah di Masjid Al-Abrar di Semabok pagi ini.

Beliau yang mengadakan lawatan ke Melaka selama tiga hari bermula semalam kagum melihat keindahan reka bentuk masjid yang dibina sejak tahun 1908 itu.

“Alhamdulillah, sempat menunaikan solat Subuh berjemaah bersama pimpinan dan anak-anak kariah Masjid Al-Abrar, Semabok awal pagi ini.

“Kagum dengan keindahan dan reka bentuk masjid yang dibina pada tahun 1908,” katanya menerusi Facebook pagi ini selepas menunaikan solat Subuh berjemaah dengan penduduk setempat.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak juga kagum adalah apabila syiar Islam terus berkembang di Melaka setelah melihat kehadiran ramai jemaah ke masjid.

“Tambah indah dengan pengimarahan masjid yang cukup baik demi perkembangan syiar Islam,” katanya.

Sementara itu, beliau turut berkesempatan meluangkan masa bersarapan bersama pengerusi dan jemaah masjid di Warung Abang Ajish, Semabok.

Mohamed Azmin mengadakan lawatan ke Melaka sebagai memberi sokongan moral kepada calon dan jentera Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kali ini.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas berikutan empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada hari ini. – MalaysiaGazette