Home Utama Warga Pakistan dalang sindiket palsukan dokumen beroperasi di kondo mewah

Warga Pakistan dalang sindiket palsukan dokumen beroperasi di kondo mewah

Sindiket didalangi warga Pakistan yang sewa kondo mewah dan menjalankan aktiviti memalsukan dokumen imigresen ditumpaskan di Setapak 12 Disember lalu. Gambar ihsan Imigresen Putrajaya

PUTRAJAYA – Taktik licik seorang lelaki warga Pakistan menjadikan kondominium mewah sebagai maklmal operasi memalsukan dokumen Imigresen akhirnya terbongkar.

Suspek yang disyaki mendalangi sindiket berkenaan dicekuo oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan di sebuah kondominium mewah di Setapak pada 12 November lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, suspek berusia 37 tahun dan ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM.

Hasil pemeriksaan di premis tersebut mendapati sebuah bilik dijadikan makmal untuk menghasilkan pelbagai jenis dokumen palsu apabila beberapa barangan seperti set peralatan komputer, mesin pencetak kad, pelbagai jenis cap perwakilan asing dan lain-lain peralatan yang disyaki digunakan dalam aktivitii haram itu.

“Pemeriksaan lanjut menjumpai pelekat-pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), lesen memandu Malaysia dan visa negara asing siap dicetak yang disusun rapi dipercayai sedia untuk diserahkan kepada pelanggan.

Sindiket didalangi warga Pakistan yang sewa kondo mewah dan menjalankan aktiviti memalsukan dokumen imigresen ditumpaskan di Setapak 12 Disember lalu. Gambar ihsan Imigresen Putrajaya

“Turut dijumpai adalah stok pelekat yang masih kosong dan wang tunai berjumlah RM13,710 yang disyaki hasil jualan dokumen palsu berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Khairul Dzaimee, hasil soal siasat  membawa pasukan operasi ke sebuah kondominium lain di Jalan Genting Kelang yang turut disewa untuk kegiatan yang sama.

Ia kemudiannya berjaya menjumpai cap-cap Pas Lawatan Sosial (PLS) dan lain-lain cap rasmi JIM palsu yang digunakan dalam pemalsuan dokumen.

Menurutnya, siasatan lanjut mendedahkan modus operandi tertuduh mengunakan PLKS sebuah syarikat pembersihan sebagai lesen untuk beliau bergerak bebas bagi menjalankan aktiviti yang menyalahi undang-undang.

“Subjek juga dikesan menyewa beberapa lagi kondominium mewah di kawasan itu yang mempunyai akses terhad serta kawalan keselamatan ketat bagi menyukarkan siasatan dan dikesan pihak berkuasa mengenai kegiatan haram sindiket tersebut.

“Sindiket ini dikesan telah menjalankan kegiatan sejak setahun lalu dengan mengenakan bayaran antara RM300 hingga RM500 bagi setiap pelekat PLKS bergantung kepada kualiti yang dikehendaki oleh pelanggan.

“Manakala bagi lesen memandu, bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM50 dan kegiatan haram ini telah menyebabkan kerugian hasil kerajaan khususnya dalam bentuk bayaran levi pekerja asing hingga mencecah jutaan ringgit,” katanya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 kerana kesalahan menghasilkan dokumen palsu dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 bagi kesalahan melanggar syarat pas. Subjek akan ditahan di Depot Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut.- MalaysiaGazette