Home Nasional CAP gesa Penang Port kaji semula jadual feri bot laju

CAP gesa Penang Port kaji semula jadual feri bot laju

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) menyemak semula jadual perkhidmatan feri bot laju susulan terdapat selang masa menunggu sehingga dua jam bagi beberapa perjalanan sekali gus menyebabkan kesulitan  kepada penumpang pejalan kaki.- Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) menyemak semula jadual perkhidmatan feri bot laju susulan terdapat selang masa menunggu sehingga dua jam bagi beberapa perjalanan sekali gus menyebabkan kesulitan  kepada penumpang pejalan kaki.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, pejalan kaki amat bergantung kepada feri bagi membawa mereka menyeberangi selat kerana kemungkinan mereka tiada pengangkutan sendiri selain perlu membayar tambang mahal untuk menaiki teksi.

Mohideen Abdul Kader

Kata beliau, ada juga dalam kalangan penumpang yang bergantung kepada pengangkutan bersambung itu bagi mendapatkan atau mempunyai masa temu janji sensitif seperti ke hospital.

“Pejalan kaki tiada pilihan dan hanya bergantung kepada perkhidmatan feri bot laju walaupun terpaksa menunggu dalam jangka masa yang agak lama.

“Jika pengguna terpaksa menunggu selang dua puluh minit hingga setengah jam bagi satu perjalanan adalah munasabah berbanding menunggu hingga ke dua jam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Mohideen berkata, dengan kehidupan di Pulau Pinang hampir pulih apabila ia beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), kekerapan perkhidmatan feri harus dipertingkatkan.

“Jika operator berkenaan berpendapat bahawa selang masa dua jam itu diperlukan bagi mengurangkan kos operasi, maka adalah salah kerana operasi pengangkutan awam tidak boleh dianggap sebagai usaha mencari wang dan ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu.

“Selain itu, perkhidmatan tersebut tidak boleh mengharapkan penumpang yang tiba di Pangkalan Sultan Abdul Halim, Butterworth selepas jam 11 pagi bagi menunggu di terminal feri sehingga 1 tengah hari untuk mendapatkan feri seterusnya ke Pulau Pinang.

“Mungkin kita perlu belajar daripada perkhidmatan kereta api di Hokkaido, Jepun atau sekurang-kurangnya perlu mempertimbangkan keperluan penumpang pejalan kaki bagi mengendalikan jadual yang lebih cekap,” kata Mohideen. – MalaysiaGazette