DUBLIN – Sistem hospital Ireland semakin tegang susulan kemasukan ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU) semakin meningkat.
Ketua Pegawai Operasi Perkhidmatan Kesihatan, Anne O’Connor berkata, katil hospital mencapai kapasiti penuh dengan hanya 94 katil masih kosong di seluruh negara.
Menurut HSE, hanya terdapat lebih 200 katil ICU yang ada dalam sistem hospital awam negara.
Terdapat peningkatan 25 peratus dalam kemasukan ke hospital pada minggu lepas dan kemasukan unit rawatan rapi (ICU) dalam tempoh itu meningkat 41 peratus, kata O’Connor.
Pesakit yang datang ke hospital dengan jangkitan Covid-19 berada dalam keadaan lebih teruk kali ini, katanya, sambil menambah 81 daripada 117 pesakit yang kini dirawat di ICU memerlukan bantuan pernafasan.
Jabatan Kesihatan Ireland pada hari Isnin melaporkan 4,570 kes baharu COVID-19 yang disahkan, dan 622 pesakit dirawat di hospital, dengan 117 daripadanya di ICU.
Angka-angka ini adalah yang tertinggi sejak gelombang jangkitan semasa melanda negara pada pertengahan Julai, apabila jumlah kes harian melonjak lebih 1,000. – Xinhua