Home Nasional 1MDB: Saksi dakwa Jho Low rancang strategi yakinkan firma audit

1MDB: Saksi dakwa Jho Low rancang strategi yakinkan firma audit

Datuk Seri Najib Razak Appeal Court coffee shop arrest warrant SRC International Sdn Bhd
Datuk Seri Najib Razak

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low didakwa mengatur strategi 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) dengan Datuk Seri Najib Razak supaya tidak banyak berurusan dengan firma audit, KPMG.

Bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB, Azmi Tahir berkata, bekas Perdana Menteri itu hanya perlu perlu mendedahkan beliau sudah diberikan penerangan tentang pelaburan serta transaksi syarikat itu.

Malah dakwa Azmi, Najib juga perlu meyakinkan KPMG bahawa beliau mengetahui semua transaksi 1MDB dan yakin dengan dokumen diberikan kepadanya.

Mesyuarat antara Najib dan KPMG diadakan di kediaman bekas Perdana Menteri itu di Langgak Duta, di sini, pada 2013, ujarnya.

Ia turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman dan Pengerusi, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin.

Tambah beliau, Jho Low turut mengatur supaya hanya Datuk Johan Idris dan Ahmad Nasri Abdul Wahab hadir bagi pihak KPMG.

“Datuk Seri Najib telah diarahkan oleh Jho Low untuk menyatakan keyakinannya terhadap Bank BSI di Lugano Switzerland berdasarkan fakta yang diberikan.

“Mesyuarat itu diadakan kerana pihak KPMG hendak mendengar sendiri penjelasan berkenaan pelaburan Segregated Portfolio Company (SPC) di Cayman Islands.

“Juga mendengar sendiri pengetahuan Najib, mengenai pelaburan 1MDB di luar negara, khususnya oleh Brazen Sky Limited,” kata saksi pendakwaan ke-12 prosiding penyewelengan dana 1MDB di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

1MDB
Jho Low @ Low Taek Jho

Sebelum ini juga, bekas CEO 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi pernah mendedahkan Brazen Sky ditubuhkan oleh Jho Low di British Virgin Islands dan sekutunya bagi mengalihkan pelaburan 1MDB dalam PetroSaudi Oil Services Ltd (PSOSL).

Najib berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Ketika pemeriksaan utama dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Deepa Nair hari ini, Azmi memberitahu, sebelum mesyuarat KPMG itu diadakan Jho Low menghantar e-mel kepada Najib bertajuk: Urgent: Briefing Package for YAB PM pada 15 Disember 2013.

E-Mel itu turut dihantar kepadanya dan beberapa pihak terbabit pada tarikh sama, tambah beliau.

“Dalam e-mel itu sudah ada talking points untuk Datuk Seri Najib dan lain-lain bagi berhadapan dengan pihak KPMG.

“Walaupun saya adalah CFO 1MDB dengan audit di bawah bidang kuasa saya, tetapi Jho Low mengatur segala dokumen  kepada Najib, untuk menjawab persoalan yang ditimbulkan KPMG,” ujarnya.

Saksi itu berkata, selepas mensyuarat tersebut, KPMG tidak menutup laporan kewangan 2013 kerana tidak berpuas hati dengan beberapa dokumen dan selang beberapa hari firma audit tersebut digantikan dengan Delloitte.

Prosiding bersambung ketika ini. – MalaysiaGazette