Home Politik Pemuda PH cabar calon PRN sokong tiga cadangan pastikan kestabilan politik

Pemuda PH cabar calon PRN sokong tiga cadangan pastikan kestabilan politik

Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Howard Lee Chuan Howdalam media mengenai Akujanji Reformasi Pemuda Melaka ketika di Graha Amanah, Bukit Katil. Foto MOHD ADZLAN, 16 NOVEMBER 2021.

MELAKA – Pemuda Pakatan Harapan (PH) Melaka mencabar semua calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) menyatakan sokongan terhadap tiga perkara termasuk tidak melompat parti bagi menjamin kestabilan politik di negeri ini.

Ketuanya Howard Lee Chuan How berkata, tiga cadangan berkenaan adalah menyokong Rang Undang-undang Anti Lompat Parti, memasukkan satu undi tidak percaya konstruktif dalam perlembagaan negeri dan memberi peruntukan saksama antara wakil rakyat kerajaan mahupun pembangkang.

Menurutnya, cadangan ketiga-tiga perkara itu juga telah pun dimeterai dalam Pelan Tindakan PH Melaka yang mana agenda itu akan menjadi dasar kerajaan yang termaktub bagi undang-undang negeri sekiranya menang PRN ini.

“Kami menggesa dan mencabar semua calon dari semua parti termasuk calon bebas PRN Melaka supaya tampil menyatakan sokongan dan persetujuan terhadap ketiga-tiga cadangan ini.

“Sekiranya gagal, maka calon ini tidak layak diterima rakyat kerana mereka hendak sokong lompat parti, tak nak sokong layanan yang setara dan saksama dan tak nak ada mekanisma yang menjamin kestabilan politik melaka,” katanya dalam sidang media di Graha Amanah Bukit Katil di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang juga Ketua Pemuda Angkatan Muda Keadilan (AMK)

Mengulas lanjut, Howard berkata, pelaksanaan undi tidak percaya konstruktif penting bagi mengelakkan kekaburan atau keraguan dalam peruntukan undang-undang yang sedia ada.

“Ini bagi memastikan krisis politik yang berpanjangan sejak 2020 tidak akan berulang lagi dan semua calon boleh menyatakan pendirian mereka menyokong ketiga-tiga cadangan ini melalui kenyataan di media sosial masing-masing.

“Kami mahu membawa harapan baharu kepada pengundi yang tak mahu lagi melihat kebobbrokan termasuk rampasan kuasa, Langkah Sheraton atau mana-mana langkah sewaktu dengannya yang telah menjatuhkan maruah nama baik Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette