Home Nasional Pendaftaran dos penggalak secara ‘walk in’ 22 November

Pendaftaran dos penggalak secara ‘walk in’ 22 November

Petugas kesihatan memberi suntikan dos penggalak kepada penerima menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hospital KPJ Tawakkal, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 12 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Pendaftaran secara ‘walk-in’ bagi individu yang layak untuk menerima dos penggalak (booster dose) akan bermula 22 November ini.

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Penggalak (CITF-B) berkata, mesyuarat CITF-B yang dipengerusikan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin hari ini bersetuju untuk melaksanakan pendaftaran nama dalam senarai menunggu secara ‘walk-in’ di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) fasiliti kesihatan swasta di seluruh negara.

“Pendaftaran secara ‘walk in’ dilaksanakan bagi individu yang layak pemberian dos penggalak dan individu yang ingin mendapatkan suntikan secara lebih awal sebelum janji temu.

“Selain itu, membabitkan individu yang masih belum menerima suntikan dos pertama atau kedua vaksin Covid-19, individu yang terlepas janji temu vaksin dan remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun yang belum melengkapkan vaksinasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun menurut kenyataan itu, keutamaan pemberian dos penggalak adalah kepada petugas barisan hadapan kesihatan, keselamatan dan pertahanan, individu berusia 40 tahun dan ke atas serta individu berusia 18 tahun dan ke atas dengan komorbiditi.

Ia termasuk penghuni dan petugas di Pusat Jagaan Kesihatan Jangka Panjang, ibu mengandung dan keperluan ke luar negara, ujarnya.

“CITF-B percaya pendekatan ini akan memudahkan dan menggalakkan individu yang layak untuk secara sukarela menerima dos penggalak lebih awal tanpa perlu menunggu lebih lama.

“Mereka yang telah berjaya mendaftar akan dimasukkan ke dalam senarai menunggu terlebih dahulu dan akan dihubungi oleh pengamal perubatan swasta terbabit sekiranya ada pembatalan janji temu atau ‘no show’ oleh mereka yang telah menerima janji temu vaksin dalam MySejahtera,” katanya.

CITF-B berkata, pendekatan seumpama itu akan membantu kerajaan memastikan vaksin tidak dibazirkan dan dapat digunakan secara optima.

Jelasnya, selain pendaftaran secara ‘walk-in’ ke PPV fasiliti kesihatan swasta, pendaftaran juga boleh dilakukan melalui telefon dan emel.

“Orang ramai boleh merujuk dan menghubungi senarai PPV yang menyediakan perkhidmatan ‘walk-in’, telefon atau emel untuk mendaftar temujanji melalui www.protecthealth.com.my bermula 22 November 2021,” ujarnya.

Sehingga kini, lebih sejuta dos penggalak telah diberikan kepada mereka yang layak di seluruh negara dan kerajaan kini dalam usaha untuk meningkatkan usaha pemberian dos penggalak bagi memastikan tempoh perlindungan yang optima dapat dicapai. – MalaysiaGazette