KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi ruang secukupnya kepada semua calon parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sejak kempen bermula 8 November lalu.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, beberapa agensi penyiaran bawah kementeriannya seperti RTM dan Bernama memainkan peranan menyiarkan maklumat, latar belakang dan aspirasi calon bertanding menerusi pelbagai platform.
Agensi penyiar rasmi kerajaan itu juga turut menyebarluaskan dasar kerajaan serta kandungan yang membawa mesej kenegaraan kepada seluruh rakyat menerusi saluran televisyen, stesen radio dan platform media digital.
“Dalam suasana menghadapi pilihan raya, baik PRU, PRN mahu pun PRK termasuk bagi PRN Melaka, setiap perkembangan dan laporan berita akan disiarkan dan dilaporkan menerusi platform penyiaran RTM.
“Sejak bermulanya kempen bagi PRN Melaka pada 8 November lalu, RTM sentiasa memberi ruang kepada calon daripada parti-parti yang bakal bertanding.
“Liputan itu dibuat menerusi siaran berita televisyen, radio dan platform media sosial termasuk liputan semasa proses pengundian awal dan hari pengundian sebenar, masing-masing pada 16 dan 20 November ini,” katanya menggulung perbahasan Perbekalan 2022 di Parlimen.
Menurut Annuar, RTM turut menyiarkan latar belakang calon dalam siarannya di pelbagai platform sehingga menjelang hari pengundian bagi membolehkan pengundi mengetahui lebih dekat setiap calon yang bertanding di kawasan masing-masing.
Pada masa sama, kementeriannya akan sentiasa menambah baik kaedah yang lebih sesuai dari semasa ke semasa bagi pelaporan pilihanraya akan datang, termasuk PRN Sarawak. – MalaysiaGazette