KUALA LUMPUR – Pemain tengah Melaka United FC, Ahmad Syamim Yahya memohon maaf kepada penyerang Sabah FC, Amri Yahyah atas apa yang berlaku di Stadium Likas Ahad lalu.
Beliau menjelaskan insiden itu tidak disengajakan.
Dalam aksi suku akhir pertama TM Piala Malaysia, Syamim dikatakan telah sengaja memijak kaki Amri ketika pemain berusia 40 tahun itu sedang terbaring kesakitan pada minit-87 perlawanan sekali gus mengundang kemarahan penyokong tuan rumah.
Namun, dia menjelaskan situasi ketika itu agak kelam kabut dan langsung tidak berniat untuk memijak kaki Amri sebaliknya hanya ingin membantu selepas melihat keadaan penyerang itu yang dalam kesakitan.
“Masa itu keadaan agak kelam kabut, dan saya sebenarnya nak tarik Gomez (Giovane Gomez) dan saya letakkan kaki saya di tengah-tengah antara kaki dia.
“Saya tak nampak yang kaki Amri dekat situ dan waktu itu saya ada tanya keadaan Amri, dia cakap tangan dia sakit jadi kalau betul saya memang nak sengaja pijak, mesti kaki dia akan sakit juga.
“Saya pun tak perasan yang saya ada pijak Amri dan lepas saya dapat video, baru saya nampak situasi sebenar, terus saya mesej Amri, dia pun cakap tiada apa-apa dan kami berdua baik-baik sahaja.
“Takkan la saya nak pijak dia dengan sengaja dan saya pun sudah minta maaf dekat Amri atas apa yang berlaku sebab saya memang tidak sengaja”, jelasnya.
Syamim turut mengharapkan agar isu itu tidak lagi diperbesarkan sebaliknya ingin fokus kepada aksi suku akhir kedua yang akan berlangsung pada Khamis di Stadium Hang Jebat.
Meskipun kelebihan memihak kepada Melaka selepas menang 1-0 ke atas Sabah tempoh hari, bekas pemain Terengganu FC itu menganggap laluan untuk ke separuh akhir masih belum selamat selain menjangkakan skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee akan tampil aksi berbeza kali ini.
“Belum selamat lagi sebab apa-apa boleh jadi sebab bagi saya, pasukan Sabah bagus sebenarnya dan mungkin masa itu taktikal mereka kurang menjadi dan kita pun sempat menjaringkan satu gol.
“Kalau tanya saya atau pemain-pemain Melaka lain, pemain Sabah yang boleh jadi ancaman adalah Amri sebab kalau dia dapat bola, kita tidak boleh nak baca apa yang dia fikir dan dia memang panjang akal.
“Bukan Amri sahaja, pemain seperti Rawilson Batuil, Azzizan Nordin, Alto Linos juga perlu diawasi, dan bagi saya, kita tidak boleh ambil mudah walaupun beraksi di laman sendiri”, tambahnya.
Selain aksi antara Melaka dan Sabah, tiga lagi perlawanan suku akhir kedua TM Piala Malaysia turut membabitkan pertembungan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman FC di Stadium Sultan Ibrahim manakala Kuala Lumpur City FC akan menentang Selangor FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.
Sarawak United FC pula akan berdepan Terengganu FC di Stadium UiTM, Shah Alam. – MalaysiaGazette