
KUALA LUMPUR – Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC 2021) yang kesembilan akan berlangsung pada 23 hingga 24 November 2021 bertemakan ‘The New Narrative: Turning the Tide on Inequality’ anjuran bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kementerian Kewangan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan di bawah Pejabat Perdana Menteri dan International Social Security Association (ISSA).
Persidangan ini bertujuan untuk terus mewujudkan kesedaran tentang perlindungan sosial melalui pertukaran idea dan perspektif, meningkatkan pelaksanaan dasar, serta menerapkan akauntabiliti dalam kalangan pihak berkepentingan industri.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka melancarkan persidangan tersebut.
Manakala Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz akan memberi ucapan penutupan.
ISWC 2021 dengan memberi tumpuan kepada peranan perlindungan sosial dalam mengurangkan ketidaksamaan dalam pelbagai bentuknya, pada masa yang sama menekankan kepentingan menangani isu tersebut bagi memastikan masa depan yang inklusif untuk semua.
Persidangan secara hibrid selama dua hari yang dianjurkan dengan kerjasama Maybank, BNP Paribas, BNY Mellon dan FWD Takaful Bhd itu akan menampilkan ucaptama dan sesi panel bersama lebih daripada 20 orang penceramah tempatan dan antarabangsa yang akan
berkongsi pandangan mengenai isu ketidaksamaan yang merangkumi topik ketidaksamaan pendapatan, ketidaksamaan pendidikan dan sosial, jurang perbezaan dalam penjagaan kesihatan, dasar responsif gender dan peranan perlindungan sosial dalam mengurangkan ketidaksamaan.
Antara penceramah yang akan mengambil bahagian termasuk pemenang anugerah Nobel, Profesor Joseph Stiglitz dan pengarang buku ‘Mission Economy’, Mariana Mazzucato.
Penceramah lain termasuk juga penulis terlaris dari New York Times, Nick Vujicic; Naib Presiden Pemasaran Kumpulan GRAB, Cheryl Goh; Pengarah Eksekutif Pertubuhan ISWC 2021 Pertolongan Wanita (WAO), Sumitra Visvanathan; dan Ketua Pegawai Eksekutif
ProtectHealth, Dr Anas Alam Faizli.
Penyertaan pada ISWC 2021 adalah terbuka untuk pembuat dasar, peneraju industri, aktivis sosial, badan pemikir, dan orang awam yang berminat untuk melakukan perubahan dan mewujudkan impak dalam masyarakat.
Penyertaan dalam persidangan ini juga adalah percuma dan terbuka kepada semua, sementara slot masih ada.
Bagi orang awam yang ingin menyertai persidangan ISWC 2021, sila daftar di https://iswc.kwsp.gov.my/register. – MalaysiaGazette